'Ambil' jika rasa apa yang saya tulis ini bermanfaat dan abaikan jika berasa ia tidak mendatangkan kebaikan untuk anda...
Setiap detik jarum jam yang bergerak, usia saya pun bertambah dekat dengan kematian. Jarak yang tak nampak itu makin dekat sebenarnya dan secara tidak langsung juga, sudah jauh perjalanan yang saya tempuh. Ironinya hidup kita, dari satu sisi macam kita dah berjalan berjuta batu dan dari satu sisi lain kita sebenarnya sudah amat dekat menuju negeri yang dinamakan akhirat yang mana di negeri itu ada daerah yang boleh dinamakan sebagai padang mahsyar dan ada pula pembahagiannya seperti neraca titian Sirotolmustaqim dan banyak lagi. Kenyataannya saya dan anda menuju kematian kerana mati itu pasti, tapi jalan yang kita pilih atau lalui mungkin berbeza.
Saya kerap berdoa dan menyebut pada Allah, kalau mahu diambil nyawa saya, biar saya dalam keadaan baik dan tidak menyusahkan adik beradik atau orang lain. Kalau Allah mahu ambil balik nyawa yang dipinjamkan pada saya ini biar jasad saya sempurna..(kerana saya tahu ada orang pernah mendoakan saya supaya mati dilanggar lori atau kereta..hahaha..macam dia itu Tuhan kan...tapi saya cool sebab saya tahu nyawa kita Allah yang punya)
Saya mahu jasad saya sempurna supaya mudah orang yang memandi dan mengkafankan jasad saya, supaya tiada rasa jengkel atau jijik mereka bila mengkafankan saya kerana jika kain kafan itu putih, tentu mudah untuk mereka menguruskan jasad saya. Wallahhu..semoga Allah ambil kira permintaan saya ini...tak lain dan tak bukan saya tak mahu menyusahkan orang yang hidup, sama ada adik beradik saya atau pengendali jenazah untuk menguruskan jasad saya bila nyawa/roh saya sudah keluar dari jasad, itu saja. (Termasuk dalam senarai yang saya nak buat ialah belajar memandikan jenazah..semoga dengan niat ini Allah bagi saya peluang dan masa untuk belajar)
Ok bukan nak bercakap pasal kematian sebenarnya, tapi saya teruja sungguh dengan satu 'motto' yang pernah disebut oleh sahabat seperjalanan saya (travel buddy), Samsiah Jendol atau lebih dikenali dengan @littlesyam. Kami bercakap apa saja bila berjumpa. Buat lawak, bercakap bahasa pelik, makan, tidur, diskusi dan macam-macam lagi. Walaupun saya bukan BFF dia, tapi saya isytiharkan dia kawan saya sampai akhir hayat saya sekiranya saya panjang umur.
Ada satu hari tu, dialognya begini:
Syam: Sha..jom kita buat satu kebaikan setiap hari..
Saya: Satu kebaikan..hmm bagus tu..
Syam: Ya..walaupun kecil
Saya: Ok nak buat lahh..
Syam: Kalau 30 hari, dah 30 kebaikan kan
Saya: Whoaa banyak dah tu..
Syam: Ok kita buat ya..
Saya: Yeszaa..
Jadi, setiap hari saya mencari peluang untuk berbuat kebaikan pada kadar yang termampu. Nak bagi sedekah duit, saya pun tidak mempunyai wang lebih, tapi cukup untuk sara hidup saya. Saya berdoa supaya ada ilham lain yang muncul di kepala saya untuk berbuat kebaikan. (Entry ini saya buat kerana berasa gembira dengan apa yang saya lalui kini. Mungkin kegembiraan anda Allah kurniakan dalam bentuk lain manakala kegembiraan saya ialah boleh bernafas dan hidup dengan selesa hari ini. Esok lain cerita. Dan bukan nak show off tapi nak ajak anda lakukan yang sama jika berasa positive dengan apa yang anda baca di sini. Tak nak buat pun tak apa..terpulang. Sekurang-kurangnya saya sudah share satu ilham baik hari ini kan..)
Setiap hari sambil memandu pergi dan balik kerja, otak saya berfikir apa yang boleh saya lakukan supaya Allah dan malaikat berasa terpanggil untuk ambil peduli dengan kehidupan saya. Sudahlah saya ini tiada ibu bapa, kalau Allah tidak mahu lagi memandang saya, pada siapa lagi saya mahu mengadu. Sebetulnya, saya suka sangat keluar masuk ikut Universiti Malaya ketika pergi dan balik kerja. UM adalah alma matter saya. Sampai bila-bila saya tidak akan jemu melihat pemandangan dalam UM ini. Petang minggu yang lalu, sejurus memasuki gate UM di bahagian PJ, terdetik dalam hati saya untuk meminta pada Allah supaya bagi peluang kepada saya menutup hari itu dengan satu kebaikan. Jam sudah 7 malam, hari makin gelap. Ketika melepasi perpustakaan utama UM, saya nampak seorang budak perempuan berjubah labuh warna hitam berjalan kaki menuju ke hentian bas paling dekat. Saya lihat di cermin depan, tiada kereta di belakang. Jadi jika saya berhenti secara mengejut pun, saya tidak akan mengganggu perjalanan kenderaan lain.
Saya hentikan kereta di sisi budak perempuan itu, dia takut-takut melihat saya membuka tingkap kereta. Saya bertanya jika dia ingin balik ke kolej, saya boleh hantar. Dia lihat jam di tangan, saya katakan padanya dah masuk Maghrib, jom kakak hantar kalau nak balik ke kolej. Dia teragak-agak tapi ada sedikit senyum. Dengan senyum yang agak terkawal dia masuk ke dalam kereta saya dan saya bertanya lagi mahu balik ke kolej berapa. Kolej 12 katanya. Jarak ke kolej penginapannya tidak jauh jika berkereta, sekadar tiga minit saja sebenarnya tapi jika menapak dan dalam keadaan hari yang sudah gelap serta azan berkumandang, suasana akan jadi sedikit sukar. Dia mengucapkan terima kasih sambil berkata nasib baik dia tidak akan terlepas menunaikan solat Maghrib.
Manakala saya sendiri berasa Allah masih sayang dan peduli pada saya walaupun saya ini hamba yang bukan baik. Selepas menghantar Maryam (saya sempat bertanya namanya, MasyaAllah..arwah mak saya juga nama Maryam) balik ke Kolej 12, saya bertembung dengan seorang lagi penuntut berbangsa Cina yang sedang berjalan kaki untuk balik ke kolej. Saya 'gamble' berhentikan kereta dan ajak dia naik. Penuntut perempuan ini naik dan terus berkata kenapa saya pelawa dia naik. Saya kata sebab saya agak dia mahu balik ke kolej. "Saya tidak sangka akan berjumpa dengan orang seperti Kakak." "Ohh saya patut ucap terima kasih pada awak kerana bagi saya peluang berbuat kebaikan hari ini, demi pesanan emak saya yang sudah meninggal (dan demi nawaitu saya yang ingin berbuat satu kebaikan setiap hari)."
"Saya Zhi Meng. Terima ya Kak."
"Ok Zhi Meng. Selamat malam.."
Saya berasa terkejut dan sangat suka kerana saya hanya minta untuk buat satu kebaikan saja tapi Allah sudah temukan saya dengan dua orang dan membolehkan saya buat dua kebaikan dalam masa yang singkat. Saya bawa kereta dengan kadar kelajuan yang agak lebih sedikit supaya saya sempat solat maghrib di rumah sebelum azan Isya masuk. Dan memang sempat pun..
Ya Allah, aku mampu berbuat apa saja dengan ihsan dan kuasaMu. Terima kasih Allah!
Betul Sha..sekurang-kurangnya satu kebaikkan dalam satu hari..nasihat yang benar.
ReplyDeleteYa Zu..Alhamdulillah..saya tak boleh nak tunggu apa dah, masa makin cepat berdetik. Jadi saya buat apa yang sempat..
DeleteSesungguhnya..
ReplyDelete