Monday 1 September 2014

Peggy Porschen yang menggebu..

Hari ni genap setahun aku tak keje. Keje sendiri, keja yang ibarat kata kais pagi makan pagi, kais malam makan malam...habis tu kalau tak dak kais tengah hari, tak dak la makan tengah hari aku..ehh bukan gitu ok. Konsep kais mengais ni luas. Kalau ikut hati aku memang tak habis nak kais, cuma hendak atau tak saja sebab rezeki kita Allah dah sediakan cuma tak bolehlah kita nak riba tangan nak tunggu rezeki datang bergolek. Tak maunya rezeki datang gitu. Kenalah rajin berusaha. Aku usaha ikut kapasiti, tak dak nak ikut orang dah. Letih nak ikut kapasiti orang ni.
Tetiba teringat lirik lagu ahkak ziana zain, dalam air tenang...ini ahkak minum tea raspberry dan butterscotch cake..
Tapi kalau  kais yang ini kena ikut kapasiti orang. Kena ikut Peggy Porschen. Kalau Peggy Porschen ni ada buat kelas, aku kena ikut kapasiti depa sbb nakkan ilmu yang depa dok ajar tu. Bulan Mei lalu sempat pi lepak kat kedai kopi depa kat Victoria. Housemate merangkap kitchen mate aku, Raja Yusniza, ajak p try kek Porschen yang sangat cantik dan sedap ni. Maka aku pun p la dengan Amirul sekali, yang juga merangkap kitchen mate. Kami pun p la naik train dari Brockley ke Victoria. Amirul dan tunggu tengah jalan, dia naik dari Penge. Jadi kami dah janji nak jumpa kat station keretapi kat Victoria. Cuaca sejuk geli-geli, sesuailah untuk kami-kami minum kopi sambil makan kek cantik tepi jalan. Stylo tak Stylo kami sedut asap kenderaan sama le kot. Hentam sajaaa..
Kalau boleh nak ngap secepat mungkin kek tu..
Kami masing-masing order kek dan minuman suka suki sebab jap lagi kami kena masuk kitchen. Jadi sebelum masuk kitchen, jamu perasaan berleisure-leisure dulu, ambik mood katanya. Kedai kek Peggy Porschen ni kecik molek ja. ada tiga meja kat luar dan dua meja kat dalam kedai. Lepas tu dok ada peti sejuk /chiller utk keknya yang menggebu-gebu lawa bak kata pepatah moden seperti jejaka melihat si dara, menitik air liur dan rambang biji mata sebab keknya comel-comel! Huh..ghairah betul tengok kek ini. Ampun sungguh aku obses tahap ke-lapan dengan kedai kek ni..
Amirul pilih kek lobak merah tapi kami yang habiskan sebab dia kata dia nak diet walaupun badan dah keding..
Aku perasan kedai kek depa ni sempoi ja...yang paling obvious kaler latarnya adalah putih, so kedai nampak bersih dan luas. Aku suka! Dan aku pun berangan...verangan is free! Eh ok lah, nak buat kek inspiring by Peggy Porschen jap naa...korang kalau p UK jangan lupa singgah kedai kek Peggy Porschen ni kat Victoria. Lola cup cake pun sedap..kat Harrods ada Cik Lola ni..
Ahkak rambang mata ok..rasa nak beli semua kek..syaitonnnn sungguh!

Thursday 28 August 2014

MH17

Biarlah walaupun tiada kena mengena langsung dari segi pertalian darah, sedih dan pilu saya berpanjangan untuk mangsa MH17..saya tulis kata-kata ini dua tiga hari lepas:

Hakikatnya
sepejal mana sekalipun qalbu insan
meskipun tiada setitik darah pun yang ada pertalian
apatah lagi berselisih di alam nyata
atau di laman maya
naluri kemanusiaan
mengabsahkan secara total
bahawa kesedihan kami bersama anda.
Kami ikuti dalam diam
kami tafakur dalam senyap
dan kami akur,
catatan duka sejarah berwarna pilu ini
kekal dalam khutub khanah jiwa bangsa.
Al-Fatihah MH17..

Saturday 23 August 2014

Tiada tajuk...

Kali terakhir menulis di sini ialah awal April lalu, lebih tiga bulan halaman ini tidak diisi dengan sebarang catatan kerana masa sangat terhad termasuklah kekangan capaian internet yang tidak menentu. Mungkin boleh saja dikatakan 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih...'

Honestly, writing in newspaper or magazine is among the greatest things in my life..and of course blogging is my whole life passion. Kalau diibaratkan blog ini seperti kekasih hati, sudah pasti dia merajuk dan menganggap saya tidak sayangkan dia lagi kerana saya sunyi dari mengunjunginya selama hampir empat bulan. Lazimnya manusia kalau berkasih saying setiap hari nak jumpa, ini tidakm berbulan-bulan ditinggalkan tanpa sebarang berita, maka kita putus! Bagaimanapun saya bukan bercinta dengan individu, ibarat kias saja. Blog ini kecintaan saya, saya menulis sejak 1996, di akhbar, di majalah, di ruang maya dan di mana saja ada peluang menulis, saya menulis hingga kini.

Segala-galanya bermula tanpa saya rancang, namun saya tahu apa yang saya alami hari ini adalah apa yang saya sering doakan sebelumnya. Jangan tanya saya apa yang saya doa dan bagaimana atau kenapa doa saya terzahir kerana termakbulnya sesuatu permintaan atau doa itu bukan sebab Allah mahu memenuhi permintaan kita, sebaliknya ia adalah sesuatu yang sudah tersedia untuk kita sejak kita ditiupkan roh ketika berusia 40 hari di dalam rahim ibu (sila perbetulkan andainya saya silap dengan fahaman ini).

Dan sekiranya terdetik dalam hati berkehendakkan sesuatu dan tergerak lidah untuk berkata-kata, maka berdoa dan memintalah kepadaNya kerana pasti ada sesuatu yang DIA mahu berikan. Ketika saya membuat perjalanan ke German dan tiga negara lain pada tahun lalu bersama Cik Ros, saya pernah berkata-kata saya ingin merasa pengalaman berpuasa dan berhari raya di luar negara...

Alhamdulillah, saya sempat berpuasa selama dua minggu di England dan menyambung puasa selebihnya di Sungai Long, di kediaman saya yang sentiasa saya rindui setiap detik...kediaman sunyi yang banyak menyimpan cerita saya.

Wednesday 2 April 2014

Menaakul bahasa alam..

Duduk depan tingkap lagi...

Waktu pagi je, ada burung tolong kejut
riuh berkicau
ok ok aku faham..
katanya: bangunlah manusia
jangan nak tidur lagi
subuh dah masuk
nanti selimut tu jadi kulit babi.


Sambil minum kopi
berangan adalah enak
sebab free kan
ada angin bertiup manja
sambil cium-cium cermin tingkap depan aku
ok ok aku faham
kejap ya nak mandi dulu
kol 10 pagi ni elok buat dhuha
kalau ada ikhlas nak buat..
sebab dhuha ini tarik rezeki
dan menutup 'lompang' yang ada tapi kita tak tahu.

Dah habis minum kopi,
ehh rasa mengantuk pula..
nampak kat luar, pokok-pokok meliuk lentuk
angin dah mula usik tu
nyamannya udara
tidur sedap ni
ok ok aku faham
pi tidur dulu jap sebelum zuhur
jangan terbabas tau
dan jangan tidur selepas zuhur atau atau asar atau maghrib
tidur lepas isya' tak pe

Dah makan tengah hari
apa-apa je lah janji halal dan kenyang
sambil minum kopi dan makan jajan
sambil buat kerja depan tingkap lagi
tiba-tiba alam hiba
warna langit mula keruh
ok ok aku faham
negara kita pun four seasoh wehh
macam winter
asal jam 4 petang jer, alam berubah corak
mendung dan kelabu
perasaan jadi sayu
hebatnya kuasa Allah
dalam beberapa detik
aku boleh amati
warna alam bertukar
dari ceria kepada sendu
dan sesekali pilu.

Besarnya kuasa Allah
aku yang tidak pernah peka ini
jadi notis
dengan setiap pixel
yang berlaku pada kanvas semulajadi
tiba-tiba sehelai daun jatuh
lantas mendarat di tepi cermin tingkap aku...

Allah..

Monolog angin..

Pemandangan sama yang dilihat setiap hari, namun tak pernah rasa boring. Lelaki yg pakai tshirt putih itu adalah uncle security yang kadang-kadang buat rondaan dengan naik motor atau berjalan kaki setiap dua jam. Manakala di hujung sana ada seorang lelaki memakai tshirt hitam, dia adalah jiran sebelah rumah aku berbangsa India..separa hensem dan status tidak diketahu..hahaha macam spy 007 pulak rasanya. Aku dah tahu pukuk berapa mereka akan lalu, bila masa mereka balik dan keluar lagi..


Kalau ada 25 jam
kesemua 25 jam ni
aku nak habiskan depan tingkap
walaupun tingkap ni kecil
tapi boleh nampak 360 darjah
Alhamdulillah
terima kasih Allah
bagi aku view yang tak pernah jemu
untuk dilihat..

Sejak tujuh bulan lalu
kadang-kadang sambil menjahit
angin cium cermin tingkap
sambil sapa
"Salam.." kata angin
"Waalaikumsalam.." aku jawab.
"Rajinnya dok depan tingkap ni.." kata Angin lagi.
"Ya..sebab nak tengok anginlah.."
"Mengintai saya ke?" Angin Tanya lagi
"Ya..bukan mengintai. Tapi dah awak dok berlari, kejar sana sini depan cermin tingkap saya, saya tengok je lah.."
"Owhh ok..dengar tak apa kami bualkan?"
"Dengar. Faham.."
"Apa lagi yang nampak sejak tujuh bulan lalu?" Tanya Angin mencungkil jawapan.
"Dulu ada pokok cantik, dah kena tebang..kesian.." aku kata.
"Lagi..?" Angin masih menyoal.
"Tu haa..daun-daun tu kalau kena geletek dengan angin..cantik tariannya, enak muziknya berdesir.."
"Owhh...faham bahasa angin dah ke?"
"Sikit-sikit..bolehlah faham.."
"Bagus..justeru, pertama sekali, lihat bagaimana kami berbicara, lihat bagaimana kami berkomunikasi dengan alam, lihat bagaimana kami memujuk burung menghargai kehidupan.."
"InsyaAllah.."
"Jangan insyaAllah saja..lihat dengan mata hati ya.."
"Ya..aku tahu.."
"Ni nak pesan..jangan dok ikut kehendak syaitan..kalau bunyi azan tu, terus solat.."

Tiba-tiba bunyi desir angin mencium cermin tingkap, jam 2.11 pagi ketika aku tulis entry ini. Angin di luar mungkin membuat lawatan mengejut sebab tahu aku belum tidur..

Selamat malam angin...
"Lagi..

Tuesday 1 April 2014

Terbang lagi...

Sungguh
 tak akan jemu
membaca mengenai MH370
daripada tak tahu ilmu aviasi
aku jadi tahu.

Dan pada aku
mereka masih ada
di negeri abadi
hanya Allah yang tahu
kita rancang
rancangan Allah lagi hebat
kita hebat
Allah lagi hebat
kita nak hebat
hebatkan dulu perhubungan kita dengan Allah.

Tahun lepas
aku pernah sebut pada Ina
tak akan terbang lagi tahun ini
kerana tabung gajah aku
sudah disimpan rapi
dalam gobok pusaka.

Rezeki kita
tak siapa tahu
aku terpaksa terbang lagi
suka tidak
kesal pun tidak
di mana dan ke mana pun aku
aku adalah milikNya
dan DIA tahu apa yang terbaik untuk aku.

Allah..
saat dunia memerhati kita
saat ramai yang teragak-agak dengan MAS
aku tetap yakin
kerana Allah berkuasa
kerana Allah kerajaan langit dan bumi
Khamis ini aku akan terbang tinggi
selama 13 jam di daerah angkasa
semoga Allah mempermudahkan urusanku
Amin..

MH370 MH17


Selesai sudah
sejarah pedih
sebuah negara bangsa
genap 17 hari
siang berganti malam
keringat dan air mata
bersatu dalam usaha
mencari dan mencari.
Calar itu
berhenti berdarah
dan luka pun ghaib
namun parutnya
terus berbekas
walau habis
segenap dasawarsa kemanusiaan
meskipun cuba dilupakan.
Walau di samudera mana
pusara tak bernisan itu
Al-Fatihah...
Dan semoga roh mereka
dicucuri rahmat Allah
bersemadilah dengan aman
di lautan paling sepi
Malaysiaku kini
bersimbah nuansa pilu.

24 Mac 2014. MH370


Saya karang kata-kata di atas
sehari selepas PM kata,
ia berakhir di lautan Hindi.

Tiada istilah lambat mengenai MH370
dah nak masuk enam bulan,
sedih tak usah cakap
tak de sedara mara saya pun dalam tu
tapi rasa terkesan sungguh
dan benar bagai dikata
banyak iktibar yang kita peroleh
dan saya dapat 'sesuatu' dari kejadian ini.

Saya juga berdoa
kalau Allah izin
beri saya gambaran
walaupun dalam mimpi
bagaimana ia berlaku
dan ke mana ia ghaib,
sungguh saya nak tahu
walaupun ada beratus spekulasi
yang muncul menyendat dalam minda.

Kapt Brahim pernah bagi tahu saya
kenapa dia nak jadi pilot
dan bagaimana dia ketika ada di cockpit
terima kasih Kapt,
sebab pernah hadiahkan ayat Kursi
utk bekal tidur saya
ketika saya dilanda ketakutan..
di satu ruang kosong
terus berdoa..
untuk mereka..
pada saya, mereka masih ada!

Wednesday 19 March 2014

Notis dak?
beberapa minggu lalu
kat Kelantan khabarnya habis dijual baju sejuk
suhu pula macam paras beku
selain Kelantan
beberapa negeri lain juga sejuk beku
lepas tu panas
sampai pokok pandan saya juga menemui maut
akibat panas melampau
air pun kena catu
sebab kering
pendek kata
banyak kawasan berpokok yang daunnya betukar merah
sekali imbas saya rasa macam musim luruh pula
ehh sorry saya memang suka berangan
saya berada di negara empat musim
apa ada hal
berangan adalah free!

Back to the topic,
notis tak, cuaca bagai diset dengan cepat dari sejuk ke panas
dari panas ke kemarau
kemudian hujan
adakah bumi kita sudah tergelincir dari paksi?

Sedar...

Tuesday 18 March 2014

Makan apa di London?

Masa saya p UK dulu, saya gila betul makan nasi lemak Pak Awi kat Malaysia Hall
lepas tu gila juga makan ayam goreng kunyit kat Restoran Bonda
suka juga pesan sirap bandung warna merah jambu tu walaupun harganya mengaum
cuma saya tak masuk Restoran Tuk Din je sebab nampak sangat ekslusif
pastinya saya tak mampu nak bayar makan mahal-mahal
sebab saya kalau travel bajet adalah keciputan.

Ok nak tanya, kepada sdr/sdri yang terbaca entry ini
kalau anda ke London/UK
menu apa yang anda terasa nak makan?
Please bagi pendapat ya
thanking you in advance!

Monday 17 March 2014

Siapakah dia...

#Mimpi
Mimpi mainan tidur, nak percaya atau tak, terpulang kepada kita
ada yang kata, kalau mimpi sebelum Subuh, ya itu benar
ada pula yang kata, kalau mimpi selepas Subuh, tak boleh digunapakai
mimpi terkahir yang dialami ialah dua minggu lalu
berada dalam satu kenderaan bersama seseorang
duduk di bahagian belakang kenderaan
lebih tepat lagi, di bahagian belakang dia yang memandu
cuaca sejuk
dan kami memakai jacket tebal
rasanya macam salji turun nipis di luar kenderaan
yang memandu kenderaan itu memakai baretta
jadi tak nampak muka
ingin sangat diketahui siapa dia
mungkin ada sebab kenapa saya tak sempat lihat wajahnya
mimpi putus
tengok jam tepi bantal ialah 4.47 pagi..sekejap lagi Subuh
saya bermohon sangat
nak sambung mimpi itu..


Wednesday 12 March 2014

Sentimental value : MH370

Sudah empat hari saya tak switch on tv,
memang sebelum ni pun boleh kira dengan jari berapa kerap saya tengok tv
bila berlaku tragedy begini, lagi saya tak mahu tengok
sebab saya tak boleh menipu diri bahawasanya saya tidak berasa pilu
apabila mendengar berita mengenai MH370

Saya tak pernah naik MH370 ini
tapi saya pernah naik MH yang lain-lain
dan saya juga tak ada masa nak bazirkan air mata saya
untuk hal yg tiada pertalian dengan saya
tapi kes MH370 ini
walaupun langsung tiada pertalian
saya berapa pilu yg amat
mungkin sifat nurani kemanusiaan itu sedikit terlebih dalam diri saya buat masa ini..

Saya tak mahu jadi pengulas terlebih bijak mencipta
pelbagai teori mengenai kehilangan aircraft ini
biarlah pengulas tak bertauliah lain yang buat
sebelum itu, saya doakan rakan2 saya di meja berita
tabah menjalankan tugas
melapor apa saja yang bermanfaat untuk kita kongsi di sini


Begitupun saya ada banyak sentimental value mengenai penerbangan
kali terakhir saya naik MAS ialah Julai tahun lalu
MH0005 dari Frankfurt ke KL
penerbangan banyak jam buat saya jadi bosan
nasib baik ada pramugari cantik manis dan baik hati
dia peramah dan suka datang berbual dengan saya
apabila sudah selesai tugasnya
kejap-kejap datang tanya saya nak makan apa
walaupun saya bukan penumpang kelas bussiness
akibat pengaruh pramugari cantik manis itu juga
pramugara lain pun jadi baik dengan saya
siap bagi juice banyak-banyak untuk saya
masa nak turun tu pramugari tu bekalkan saya satu beg besar kacang
dan pramugara handsome itu pula bekalkan saya senyumnya yang kacak itu
hahaha saya tenggelam seketika
habis kisah ini.

Pada tahun 2010, saya keluar dr penginapan di Sussex Garden pada jam 5 petang
walaupun flight nak balik KL ialah pada jam 10 malam
masa tu salji turun menderu-deru
driver yang bawa saya dan rakan-rakan ke airport berbangsa Filipina
sambil memandu dia sibuk bercakap dengan buah hatinya
saya kira teman wanitanya
ada sepatah dua perkataannya yg saya faham
perjalanan ke lapangan terbang menjadi lambat kerana salji menutup jalan
saya sudah risau takut terlepas kapal terbang
tiba di lapangan terbang, keluar saja dari kenderaan, Ya Allah sejuk melampau
dan hidung saya mengeluarkan darah kerana terlalu sejuk
oh ya, saya ambil flight dari Stansted dan bukannya Heathrow
sebab AirAsia yang taja tiket penerbangan saya dan rakan-rakan
jadi kami akur.
masuk dalam bangunan airport itu, ahhh lega
sebab tiada lagi sejuk yang menikam tulang
saya cepat je pi beli kopi
sambil duduk minum
saya dengar pengumuman
semua penerbangan ditunda
akibat salji lebat melanda seluruh Eropah
justeru termasuk jugalah penerbangan saya.

Rupa-rupanya penerbangan ditunda bukan sejam dua..tapi nak masuk dua hari
bayangkan duduk di lapangan terbang tak boleh keluar pun
kalau boleh round bandar berdekatan tak apalah juga
'Pakcik' saya yang ada di Swiss masa tu pun sibuk meng'text'
katanya kalau boleh keluar dari airport
dia nak booking hotel untuk saya berehat
sayangnya tak boleh
saya makan tuna sandwich dah berbakul-bakul
dan minum kopi bercawan-cawan sudah
guna kupon redeem yang syarikat penerbangan bagi
begitu juga rakan lain
semua benda sudah dibualkan
termasuklah fikiran saya berkata-kata
bagaimana aircraft nak take off sebab salji tebal
tentu akan berlaku kemalangan tambahan pula landasan licin
jadi lebih baiklah saya terkandas di dalam bangunan ini daripada
terkandas di dalam kapal dan tergendala di mana-mana
sesungguhnya mati hidup itu Allah yang atur
namun sebagai insan, ketika itu
fikiran saya sentiasa teringat mungkin ada hikmah
kenapa saya kandas di situ
saya juga nampak seekor burung nightingale menemui ajal
di tepi cermin kaca bangunan di sebelah luar akibat sejuk, kesian!

Apabila kita sudah kandas lama
manusia yang waras akan berpecah-pecah fikirannya
ada seorang wanita mula tidak waras dan membuat onar
di dalam lapangan terbang saat semua penumpang terkandas dan mengenang nasib
wanita berkenaan mengamuk kerana penerbangan ditunda
dan katanya habis urusan lain terpaksa ditunda
syukur saya masih waras ketika itu
tidur atas lantai, atas kerusi, dan berhimpit-himpit juga enam rakan lain
hmm saya dan seorang lagi rakan perempuan manakala lima lagi adalah jejaka
terpaksa kami berhimpit-himpit juga sebab lapangan terbang penuh dengan penumpang yg kandas dan sejuk yang membunuh
tapi masing-masing pakai coat tebal ok..tiada bersentuh kulit..
setelah hampir 36 jam di situ..akhirnya kami naik juga
ke dalam perut pesawat dan selepas 13 jam di aras yg sangat tinggi,
tayar kapal mencecah landasan Sepang..
Ok saya selamat balik...

Masa saya balik dari HK pada 2012,
kapal kami bergegar-gegar juga akibat masalah cuaca
ketika itu saya tidak berhenti membaca ayatul Kursi
dan beristighfar
andai berlaku sesuatu
at least saya sudah mengucap dua kalimah syahadah.

Dan ketika berulang alik KL-KB / KB-KL juga
beberapa kali juga saya mengalami gegaran
akibat cuaca
Alhamdulillah juruterbang cekap
jadi tiada apa yang berlaku, dengan izin Allah, semua ok.

Pagi Sabtu lalu,
adinda saya kata
"Dah dengar ke kapalterbang MAS hilang?"
"Hilang? Ya ke? Macam main-main je"
"Semalam lagi hilang, pagi ni baru nak start kecoh..."
"Oh ya ke, petang ni jumpa la tu.." sungguh saya tiada kerisauan kerana tidak yakin kapal itu akan hilang lama.
Dan sehingga saat saya menulis entry ini, saya berasa pilu mengenangkan nasib anak kapal, kapten dan penumpang yang masih hilang. Walau siapa pun mereka, bangsa atau agama apa pun mereka, mereka adalah manusia, insan, seperti kita kita yang berenak-enak dan tidak mengalami sebarang musibah ini.

Beberapa kali saya melihat rakaman tv bualbicara TV3 dgn Kapt Norudin itu..beliau menyampaikan mesej tersurat sebenarnya. Kata-katanya disusun penuh cermat dan mendalam. Anda pasti lagi arif dari saya untuk mentafsir apa yang beliau katakan.

Saya petik juga kata-kata seorang bijak pandai yg saya hormati di FB yg jarang2 sekali saya online:

"Di saat semua usaha sudah digembleng, kecanggihan sains dan teknologi sudah dipersembahkan, maka ketahuilah bahawa Takdir (Allah) mengatasi Tadbir (manusia)" - A.Khusyri


MasyaAllah...saya bersetuju amat dengan kata-kata ini. Hanya doa, solat hajat dan tahajud saja pertolongan yg saya boleh berikan dalam usaha membantu menemukan atau mengembalikan semula sebuah MH370 dan isinya..sesungguhnya kita tidak tahu rahsia Allah..

"Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepadaNyalah kamu meraung meminta pertolongan." (An-Nahl, 53.)   

Friday 7 March 2014

Terapi perut dengan spaghetti seafood dan ayam goreng

Dia telefon saya sekitar jam 12 noon. Suaranya sebak dan menekan-nekan. Saya dapat kesan ada sesuatu yang tak kena dengan AzS ini.
"Kak, ada kat rumah?"
"Ada..dok menjahit ni. Comforter Kak Lily tempah untuk baby Iris.."Jawab saya.
"Nak datang boleh? Saya EL hari ini." kata ibu muda beranak tiga ini. Dua anak sulung berusia dua tahun ada twin boys manakala yang bongsu baru berusia beberapa bulan ialah petite little girl.
 
Sampai saja di pintu rumah saya, dia menangis dan apa yang boleh saya lakukan ialah menenangkan dia, memintanya duduk dan menyediakan segelas kopi panas. Panas bertemu panas, tak lojik! Tapi itulah yang terbaik untuk dia. Dia tak boleh minum ais kerana baru habis berpantang.
 
Setelah duduk dan berbual beberapa ketika sambil saya menyediakan spaghetti seafood untuk kami lunch, dia bercerita berselang seli tangis. Mata sudah bengkak menampung air yang tidak  berhenti mengalir. Memang saya kesian melihatnya namun saya tidak berhak memberi cadangan kerana dikhuatiri saya 'bias' dalam menasihatinya dalam usaha mengedalikan rumah tangga yang sudah menampakkan sedikit retak. Saya berpesan kepadanya retak itu masih sangat kecil dan usia perkahwinannya masih muda, iaitu baru mencecah lima tahun dengan cahaya mata yang comel-comel.
 
Puas dia meluahkan perasaan dan menangis, dia minta izin untuk balik bersemuka dengan suaminya. Itulah yang saya katakana padanya dan itu juga yang dinasihatkan oleh orang lain kepadanya. Saya berharap dia mampu menangani hidup dengan baik. Pasangan muda, banyak yang tergigit dari yang seiring, banyak yang mula bengis berbanding bermanja-manja apakala usia perkahwinan mencecah lima tahun.
 
Bukan hendak membetulkan cakap-cakap yang sering saya dengar, iaitu setiap lima tahun akan ada gelombang melanda perkahwinan, kerana 'rumahtangga' saya juga runtuh dilanda badai ketika mencecah usia 13 tahun. Jadi tidak wajar untuk saya menasihati dia kerana ibarat mengajar anak ketam berjalan betul, ibunya juga tidak berjalan dengan betul.
 
Sehingga saya menulis entri ini, saya belum menerima sebarang sms dari dia, harap semuanya berjalan lancar. Saya nak berhenti jap, nak minum kopi dan makan spaghetti lebih lunch tadi..
Spaghetti seafood dengan ayam goreng dan chunky sweet tomato..cukuplah terapi perut hari ini..burp!!!

Wednesday 19 February 2014

A Karim Sulaiman

Saya mengenali beliau sejak 1996, tapi sekitar 2005 baru saya berpeluang berbual dan mengenali beliau lebih dekat. Ketika itu beliau baru pulang dari London setelah bertugas beberapa tahun sebagai koresponden di sana. Balik KL, beliau menjadi Editor di Unit Rencana dan ketika itu saya di Unit Joran, BH.
 
Beliau meminati lagu lama dan beliau yang saya kenali juga menjadi tempat rujukan beberapa DJ tersohor kerana pengetahuan dan minatnya terhadap lagu lama. Saya masih ingat beliau menunjukkan kepada saya piring hitam Allahyarham Yasmin Ahmad dan beberapa lagu klasik yang lain setiap kali saya berhenti di mejanya. Tiada segan untuk bercakap dengan beliau kerana budi bahasanya yang peramah dan rasa hormat juga sangat tinggi kepadanya. Semua memanggil dia Abang Karim. Saya jadi akrab dengan Abang Karim kerana beliau suka masak, isterinya Kak Hawa, pandai membuat kek dan biskut serta roti. Setiap tahun kami beli biskut raya dengan Abang Karim.
 
Pengalaman paling berharga sepanjang saya mengenali Abg Karim ialah ketika kami menyertai pertandingan memasak secara duo anjuran padi beras nasional bertempat di The Mines. Kami dah beberapa hari berbincang untuk menyediakan tiga resepi. Kami menyediakan nasi, desert dan minuman. Ahh sebenarnya saya dah lupa sebab peristiwa ini dah hampir 10 tahun berlalu. Lebih manis apabila kami mendapat tempat ketiga..Satu percubaan yang amat berbaloi walaupun nombor 3.
 
Dan perbualan kami tidak berhenti di situ walaupun Abg Karim sudah berhenti kerja dan menulis dari rumah akibat sejenis penyakit yang dialaminya. Ada juga sekali dua saya menjenguk Kak Hawa sambil menziarahi Abg Karim juga kerana bertujuan nak beli cookies Kak Hawa.
 
Semalam Abg Karim yang saya kenali sudah berpulang ke rahmatullah dijemput Ilahi setelah hampir 10 tahun menangani penyakit dialami dengan tabah di samping keluarga yang sentiasa menyokong beliau. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham A Karim Sulaiman, bekas Editor dedikasi di BH. Al-Fatihah...

Wednesday 5 February 2014

Red velvet, brownie, macaroon mana satu idaman hati

Kali pertama makan kuih ini ialah pada Disember 2012 di Kota Bharu di kenduri kahwin anak buah blogger NP. Aku langsung teringat-ingat kuih ubi kayu jelita yang disebut Tonyoh ni. Mungkin sebab nak buat menu lama ni, kita kena parut atau sagat dengan menonyoh ubi kayu pada penyagat, tu lah sebab namanya tonyoh. Mari kita namakan ia sebagai Pelangi Ubi Kayu yang cantik jelita. Minggu lepas sempat belajar buat kuih ini dengan tukang kuih underground yang cukup handal ilmu memasak tapi dia mahu low profile. Dapatlah makan puas2 kuih cantik molek ini. Percaya tak ini adalah ubi kayu parut yang dikukus..makan dengan kelapa...arghh terbau-bau wangi ubi kayu kukus ini.
Kuih putu kacang, tepung pelita, tepung bungkus, pulut pagi, pulut inti, kuih koleh kacang, kuib ubi kayu, kuih apam balik, kuih roti kukus, kuih lapis, tepung bunga, belebak, nekbat, akok, jala mas, buah Melaka, onde-onde..hah ambik! Apa lagi..semua yang kena dengan tekok ambo adalah kuih lama-lama yang zaman mak-mak kita suka buat.
 
Kalau tanya lagi, tau makan atau tau buat..hellooooo jawapannya ialah kedua-duanya. Saya tahu makan dan tahu buat juga, sebab kalau makan, saya suka makan lebih dari dua atau tiga jadi jalan selamat ialah belajar buat dan bila saya pandai buat, saya boleh makan banyak.
 
Hmm..kenyataannya makan kuih lama-lama ini ada nikmat yang tersendiri. Ada kisah dan falsafah di sebalik kuih yang dibuat (walaupun bukan semua) kenapa begitu, kenapa begini..yang penting aku suka yang klasik. Macam mana dengan orang? Ya, aku suka yang lama dan klasik juga..kenapa?
 
 
Bab 3
 
Meneguk air di bibir gelas
serasa terbayang di leher nan mulus
menunggu kasih tidak berbalas
serasa walang hati yang kudus
 
"Jadi Sophia suka yang lama-lama? Begitu?"
"A ah..semua yang lama-lama.."
"Apa antaranya?"
"Kuih putu kacang hijau. Saya cuma makan yang dibeli dari Kuala Kansar saja,."
"Kenapa nak kena makan yang Kuala Kangsar? Putu kacang lain tak boleh makan ke?"
"Yang Kuala Kangsar punya sedap. Ada kelainan. Serbuknya kering, berderai di dalam mulut, lambat berkulat. Kacang hijaunya terasa, kena dengan lemak dan manisnya.."
"Ohh sampai begitu sekali?"
"Ya lah..alang-alang makan, biar terasa dan terkenang-kenang. Kalau nak tahu, gula tu dimasak, jadi cair, kemudian kering kembali seperti asal dan digesek pada tepi periuk sampai jadi debu, halus. Kemudian dicampur dengan serbuk kacang hijau yang ditumbuk dengan lesung, goreng kering, ayak halus dan hanya direnjis dengan air. dikepal dan dimasukkan dalam sarang kayu.."
"Wahh wahh hebatnya Sophia tahu ini semua.."
"Tak pernah buat tapi pernah tengok orang buat.."
"Kenapa rumit sangat ya nak buatnya..?"
"Nak hasil sedap, kenalah bertungkus lumus. Tak ada jalan mudah kalau mahu hasil baik.."
"Betul juga tu.."
"Mudah saja falsafahnya, kalau kita goreng tepung sebelum digunakan untuk buat kuih, kuih pun jadi sedap sebab tepung kering sepenuhnya, tiada kelembapan..kalau buat biskut dengan tepung yang digoreng terlebih dulu, biskut pun cantik dan rangup.."
"Ok, saya belajar banyak perkara baru dengan Masjid Biru hari ni..hehe"
"Uhh...nama saya bukan masjid Biru. Hagia Sophia!"
"Tahu..ok pandai tak nak buat kek red velvet. macaroon, whopie pie, congo bar, brownie?"
"Tak tahu. Baru nak belajar.."
"Saya boleh ajar kalau nak.."
Belum lagi chef senior itu habis cakap, dia sudah terlebih dahulu memotong cakap dengan laju dan mata bersinar-sinar seperti kejora terang di langit timur..hati berbunga-bunga kerana ada yang sudi mengajarnya membuat kek dan biskut moden.
"Nak..eh saya nak..bila boleh mula?"
"Ehh nanti dulu..nanti jap. Tak nak tanya ke pengerasnya apa?"
"Gula? Tepung? Esen Vanilla? Ovalette? Ok saya boleh sediakan..."
"Saya tak nak pengeras yang itu.."
"habiskan nak saya bayar yuran berapa? Ke nak saya buatkan kuih? Nak saya buatkan tepung pelita?"
"Saya tak nak tepung pelita. Saya nak Sophia jadi pelita hati saya...boleh?"
"Erkk..?"
Tiba-tiba derap langkah Chef Akub mengejutkan Sophia yang sedang leka berbual dengan Zain. Wajahnya tiba-tiba menjadi merah seperti kepedasan tergigit cili padi. Ada peluh merenik keluar dari dahi dan mula membasah perlahan-lahan. Baru dia sedar mereka berbual berhampiran periuk besar yang sedang mendidih isinya. Kini hatinya juga mendidih seperti gulai kawah itu juga.
Chef Akub berhenti berdekatan mereka dan melemparkan senyum selamba. 
"Yaya hari ni balik pukul berapa? Nak buat OT tak?"
 
Dia tergagap-gagap mahu menjawab. Zain kemudian bersuara, "Yaya jangan lupa pengerasnya yang saya bagitahu tadi kalau nak belajar buat kek..ok saya nak pergi meeting dulu.."
Zain kemudian menghilang ikut pintu besar dapur. Dia melihat lelaki itu melangkah dengan teratur. Memang langkah orang lama, kemas dan segak.. 

Ais krim green tea la sangat..


Kalau baca novel popular sekarang ni, macam-macam nama ada. Termasuklah novel yang dijadikan cerekarama. Arian Rose? Seth Tan? Entah apa-apa lagi, aku tak hafal semua, sebab dah hampir empat tahun tak menonton TV. Itu pun tahu sebab dok dengar depa cerita. Kalau tengok pun Anugerah Bintang Popular yang setahun sekali tu dan tengok Raja Lawak tahun lepas dengan Nenet Penne sambil makan roti bakar dan kopi depan layar sinetron kat rumah. Chanel apa yang best pun aku tak ingat. Betapa masa pantas berlalu, suatu ketika dulu aku boleh tengok TV sampai TV tengok aku balik depannya...zzzz :)
 
Cakap pasal nama, aku suka nama kontot atau satu nama saja, tapi orang sekarang suka letak nama anak panjang sedepa, lepas tu time nak isi boring mula la tak cukup kotak. Eh tapi itu hak depa la kan..aku apa pulak nak kisah. Biarlah..personally, aku suka nama yang bunyi macam klasik ni..
 
Bab 2
 
Suara gemersik buluh perindu
belahan hati pengubat jiwa
siang berbisik menahan rindu
sehari tak jumpa, serasa hilang nyawa..
Dah lama berangan nak makan ais krim green tea yang diletakkan atas kek. Dua hari lepas aku buat kek span gula hangus, makan sorang. Ada lagi dalam dapur. Macam mana nak usha tekak supaya boleh settlekan kek yang sedap tu..sorry aa gua masak so gua rasa sedap pulak kek ini. Jadi gua boleh je mengada-ngada makan dengan eskrim kan..nak resipi kek ni, nantikan kemunculan buku 'Cerita Makan-makan..'
"Sophia...hmm...Hagia Sophia..sedap nama ni. Macam pizza..macam kek span gula hangus makan dengan ais krim teh hijau.." Katanya sambil buat muka selamba.
Dia ingat muka dia tu lawa, muka dia tu boleh jadi penawar. Sakit hati! Sakit hati dengan mamat ni.
"Ya, nama saya Hagia Sophia. Kenapa?"
"Sedap.."
"Tahu pun..."
"Suka ya?"
"Mestilah. Ayah dan emak yang bagi.."
"Mesti ada sejarah tersendiri di sebaliknya.."
"Encik tahu tak Masjid Biru? Topkapi? Atau dipanggil juga Hagia Sophia?"
"Hmm.."
"Tahu? Hanya saya dan Masjid Biru itu saja yang guna nama ini.."
"Masjid biru..patutlah awak ni romantis..:)"
 
Pang...berderai kaca jatuh ke lantai seperti butiran mutiara terputus dari talinya..dia terkaku dan ketika tunduk untuk mengutip kaca dari gelas yang terhempas itu, sekeping kaca kecil menghiris luka jari kelingkingnya. Lelaki yang sering membangkit amarah itu cepat-cepat mengeluarkan sehelai sapu tangan kain kapas dari kocek seluar khakisnya untuk untuk membalut luka dan mengalas pegangan tangan supaya kulit mereka tidak bersentuh..hatinya berdetak keras..engkaukah!

Hagia Sophia...

Sedar tak sedar, sudah masuk lima bulan aku berhenti dari Kilang Kertas dan sedar tak sedar juga, aku dah jadi blogger sejak 2007 lagi hinggalah kini. Andai dihitung, keseluruhannya ada enam blog yang mana tiga darinya adalah milik sendiri manakala tiga lagi blog kreatif dan aku diundang sebagai pengkarya tamu..tidak berbayar, namun aku terima kerana minat dan idea sedang mencurah ketika itu.
 
Kini, Februari 2014..terasa begitu pantas masa berlalu. Daripada membahasakan diri 'aku' dalam gaya penulisan blog, bertukar kepada 'saya' dan kemudian 'aku.' Tak tahulah mana satu yang paling jujur, sama ada 'aku' atau 'saya,' tak pun 'gua.' Entah..tapi kalau berbicara dengan Allah, kita membahasakan diri 'aku'..sebagai hamba paling lemah di sisiNya..
 
Menulis di blog bagi aku sama seperti menulis catatan peribadi pada diari harian. Kadang kala terbabas juga mencatat sesuatu yang termasuk dalam kategori rahsia kerana tidak sedar. Tapi ada kalanya terkawal walaupun menulis di bawah paras sedar. Aku terpanggil menulis entry ini sebab sepanjang hari siang tadi, mengemas pelbagai kertas dan dokumen yang sudah lama terperap dalam lima beg kanvas besar, khazanah dari Kilang Kertas yang dibawa balik masa nak resign Ogos tahun lalu.
 
Ada beratus-ratus artikel yang ditulis dan berpuluh buku nota yang disimpan walaupun bukan lagi bertugas. Sayang betul nak buang. Bukan bererti kesal kerana tidak lagi bertugas, tapi ilmu dan manfaat yang diperoleh amat banyak. Lebih-lebih lagi perbualan dengan seorang Editor Kanan di sebuah syarikat penerbitan petang tadi buat aku berasa perlu untuk berlama-lama di PC. Perlu menulis sekurang-kurangnya 10 halaman setiap hari. Menulis untuk 'memanaskan kembali enjin' yang sudah hampir lima bulan berehat.
 
Minggu lepas ketika berjumpa Chekem, macam-macam idea timbul, begitu juga ketika bertemu rakan sejak tahun 1 di UM, Lily Haslina Nasir.
Katanya, "..kalau aku jadi kau, macam-macam benda boleh tulis. Kau kan pernah bergasak dengan ROTU. Kau kan selalu interview chef dan segala bagai tukang masak. Kau kan selalu back pack.." katanya membakar semangat aku..
 
Minggu lepas juga aku bertemu penulis senior yang aku kagumi sejak 1988, katanya begini, "..dengar khabar lama mengembara ke NZ. Berapa hari?"
"Tiga minggu je.." jawab aku.
"Hmm lama tu. Banyak habis?"
"Sikit je, sebab saya banyak menumpang di rumah kawan pada kawan  dan masak sendiri."
"Habis tu..."
"Habis apa?"
"Tulislah..menulis. Tulis.." katanya sambil melontar pandangan ke arah kejauhan.
 
Sudah tiga orang yang menegur aku supaya kembali menulis. Bukan untuk akhbar, tapi untuk diri sendiri. Kalau mereka sudah menegur begitu, kenapa aku harus berasa 'kerdil' untuk menulis. Semangat yang hilang, susah mahu kembali. Sudah pelbagai cara dilakukan untuk menyeru semangat itu. Kalau di Kelantan, orang tua-tua dulu akan 'Main Puteri' supaya semangat yang hilang itu kembali ada. Atau dalam bahasa pasarnya, mereka sebut 'Bageh.' Kalau main 'Bageh' ini, yang demam terbaring pun boleh bangun tegap dan segar tubuh badan. Hebatnya kuasa semangat yang Allah berikan kepada kita. Main Puteri atau Bageh itu medium perantaraan saja, sebenarnya kita sendiri yang perlu bangkit. Aku menulis ini, aku ingatkan diri sendiri. Aku mahu jadi aku yang mula menulis pada usia 16 tahun sejak lama dulu. Ketika itu malam-malam pun sanggup guna lilin andai elektrik terputus, guna mesin taip yang arwah Abah beli untuk kakak jenama Olivetti. Mana pergi entah mesin taip yang banyak jasa itu..
 
Dan esok sehari lagi masa dan usia bertambah. Aku masih ada 4 tahun 10 bulan dan 25 hari untuk jadi seperti apa yang aku inginkan. Mungkin ini suatu permulaan setelah pelbagai perkara berlaku. Ya kita sentiasa dengar orang kata "Everythings happen for a reason.." Dan aku tahu aku sudah membuat keputusan yang betul kerana tiada apa yang berlaku secara kebetulan, semuanya sudah dirancang baik olehNya..kita sebagai hamba atau khalifah kecil di mukabumi ini perlu memanfaatkan sebaiknya. (Peringatan untuk diri sendiri..)
 
 
Dan tiada apa lagi yang perlu ditangguhkan..
 
Bab 1:
Pulau Melati berlangit sendu
Nampak berbalam di dalam jampi
Kalau hati sudah merindu
Tidur malam termimpi-mimpi.
"Ada satu komen lagi... nak tahu tak?"
"Apa dia?"
"Dua tiga hari ni… saya makan gulai masin... ada orang nak kahwin ke?" Tanya lelaki di hadapannya itu dengan wajah yang langsung tidak menunjukkan rasa bersalah. Matanya berkelip laju dan kumis nipis jelas dijaga rapi. Ahhh ke situ pula. Kenyataannya,  bagai ada batu besar menghempap kepalanya pada ketika itu. Aduhh!!! Siapa yang masak gulai berkenaan, dia satu-satunya pembantu tukang masak di kedai emak.
"Err... dah memang gulai ikan masin... masin la jadinya," jawabnya selamba, masih membela diri. Ciri-ciri mengalah sama sekali tidak akan ada dalam kamus hidup seorang Farha, itu sudah pasti. Anak ayah, memang tidak pernah diajar mengalah. Berusaha selagi boleh. Kalau ayah ada, mesti ayah bangga. Sayangnya ayah sudah tiada. Sedih…
"Tapi ini masin lain...bukan masin gulai ikan masin rasanya...." balas mamat tocang ekor kuda itu lagi. Muka mamat berkenaan poyo saja pada pandangan matanya. Sungguh, dia nampak mamat itu seperti seekor semut di tepi birai bekas gula saja, layak untuk dipicit dan di buang ke dalam singki, seterusnya ditolak ke dalam lubang singki dengan air paip laju-laju.
"Hmm...." gumamnya perlahan. Dalam hati, gelora ombak badai selatan mula mengganas. Didihnya makin menjadi.
"Marah?"
 
(Fragmen Bab 1 Hagia Sophia)

Friday 24 January 2014

Masih hidup...

Minggu lalu, ada sms masuk:
 
"Bila free, boleh jumpa tak? Nak bagi buku?"
"Buku apa?"
"Buku saya, ada dua biji baru siap.."
"O ok..anytime. Cakap je kat mana, nanti saya pi.."
"Isnin, jam 3 petang. Mai opis saya.."
"Ok boleh.."
 
Dan aku pun menunggu-nunggu hari yang dijanjikan, alang-alang turun KL nak jumpa pemberi buku, baik juga aku jumpa sahabat yg dah lama tak jumpa ni, Che Kem. Kalau jumpa Che Kem, aku mesti mengeteh sejam dua dengan dia, yang juga sama sealiran minat dan percakapan.
 
Lepas habis sembang, aku menghala ke opis pemberi buku dan Che Kem menuju ke Aswara kerana katanya dia ada urusan di sana. Jam 3 aku jumpa orang dimaksudkan. Dua buku bertukar tangan. Satu buku edisi mewah dan satu lagi buku nipis yang dia menang hadiah pertandingan puisi. Aku lebih-lebih lagi suka sebab dapat dua buku percuma dan sudah pastilah akan dihargai.
 
Sekitar jam 4.45 pm aku minta diri sbb nak elak sangkut..dari Jalan Tun Razak, bergerak ke Jalan Ampang dan masuk ke Jalan Cheras, lalu ikut terowong Smart yang agak panjang itu. Dalam terowong aku dah terfikir, tak boleh bawa laju sebab tak tahu apa yang ada di depan memandangkan terowong agak gelap. Sampai luar terowong, langit mendung dan ada rintik hujan..tiba-tiba aku tak tahu kuasa apa yang mendorong aku tekan minyak menyebabkan kereta bergerak dengan laju dan bila dah tersangat dekat baru nampak ada palang tol kat depan. Haruslah cermin kereta akan pecah, dan kaca berderai masuk dalam mata. Jadi tindakan segera yang aku lakukan ialah brek mengejut dan pejam mata rapat, sebab tak nak kaca yg pecah masuk dalam mata.
 
Ehh..bila buka mata, kereta betul2 ada di hadapan tiang palang dan tiada apa yang pecah, depan dan belakang tak ada kereta. Dan aku nampak palang berada di tepi, bergerak dengan sendiri kah? Dan tiada apa yang berlaku. Tiada kaca pecah, tiada kemalangan jiwa, cuma keliru. Palang tol itu lembutkah? Ada siapa ke yang tolong buka palang? Ke aku yang tak tahu palang itu dihasilkan dengan canggih untuk tidak mencederakan pemandu sekiranya dilanggar dengan laju? Sungguh aku berasa keliru..
 
Pemanduan diteruskan nak balik ke Sg Long, dan aku teringat, dua hari sebelumnya aku ada menulis di buku catatan peribadi..begini: Ya Allah, kalau nak ambil nyawa aku, ambil dengan baik supaya aku tidak menyusahkan sesiapa, tidak menyusahkan sesiapapun di dunia ini.
 
Terima kasih Allah, kerana mendengar kata hatiku.

Sunday 12 January 2014

Gossip..

Dulu rumah sebelah kiri kosong lebih dua tahun, jadi aku berdoa supaya ada jiran. Tup tup awal bulan hari tu, nampak sorang mamat Africa berjalan masuk ke dalam rumah kosong tu dan kemudian ada lori besar park depan rumah dengan segala bagai barang. Okeh doa aku sudah sampai atas, Allah mendengar. Dan ada jiran sudah sebelah rumah.

La ni dah nak masuk dua minggu depa pindah masuk, ada kemusykilan lain pulak. Setiap malam ada bunyi bising seperti angkat berat dan hempas ke lantai. Aku tau la depa tu bina badan kot sebab pernah nampak thread mill depan pintu beberapa hari dulu. Ok la gitu kan, tapi memang mak hairan apasal malam2 pun depa bersenam. Musykil sungguh.

Depa ni rasanya couple sebab selain mamat Africa tu, ada sorang perempuan nama Jasmin (haaa sempatlah lagi I skodeng dan bertegur sapa dengan jiran kan), yang juga keluar masuk. Aku pernah dengar suara baby nanges di siang hari, tapi tak pernah nampak babynya.

Di suatu hari Khamis, sambil bela pokok bunga, keluar mamat jiran sebelah kanan sambil nak ambil surat dalam peti rumah dia.

"Eh kak, lama tak nampak..."
"Eh 'A'..aii awak tak keje ke?"
"Saya baru balik offshore kak, pening mabuk tak hilang lagi. Dua minggu kat offshore, 5 kg badan saya turun," katanya sambil belek2 surat.
"Sian awak.."
"Akak p  mana sebulan tak nampak?" (Mana der sebulan wehh haku mengembara tiga minggu jerr, ko yang sibuk dating le tewww)
"Akak pi mengembara jap.."
"Owhh..eh Kak, ada jiran baru ek?"
"A ah.."
"Ok tak?"
"Err..."
Seterusnya bla! bla! bla! Tak sangka mamat sebelah kanan rumah aku pun notis akan jiran baru kami. Nak kata aku kecoh, ehh kena kecoh kan sebab  ada dengar suara baby nanges. Nak kena kecoh juga sebab hampir setiap malam depa angkat dan hempas dumbbell kat lantai. Pehh gilos memalam buat senaman kardio bagai. Nak kena kecoh juga depa ni muslim ke tidak?

Sama ada aku yang busy body atau depa yang weird, tak pasti. Tapi sebagai jiran aku rasa aku kena kecoh sebab ada bunyi suara baby menanges tapi tak pernah nampak babynya. The rest tu, saya tak mau ambik tahu, saya cuma nak ambil tahu kenapa baby tu menangis saja..

* hmm patut atau tidak saya menjadi bz body dengan jiran saya ini...saya sangat musykil sebenarnya mengenai suara baby nanges dan bunyi dumbbell dihempas ke lantai tu..

Saturday 11 January 2014

Amber Chia Vidal Sassoon

Betullah..apabila sudah terlalu lama ditinggalkan, ingatan kita pun pudar. Lupa secara perlahan-lahan dan tiada lagi sentuhan yang meresap, yang selama ini kita sayang dan kita jaga dengan baik. Tiada lagi kerinduan dan tiada lagi perasaan teringat-ingat. Saya tak pasti tajuk di atas sesuai atau tidak dengan entry ini..writers block again!!!
 
Hari ini, 10 Januari 2014 genap empat bulan aku berhenti menulis di halaman Wanita di akhbar yang cukup aku sayang, Berita Harian. Selama 18 tahun menjadi wartawan dan menulis di akhbar berkenaan, usah kata keringat, air mata juga mengalir apakala aku tak dapat menemubual individu yang dikehendaki editor. Ketika itu hampir Maghrib dan editor suruh aku menelefon seseorang. Bayangkan waktu orang sibuk ingin menunaikan solat, gua pulak sibuk mendail no telefon dan akhirnya tidak berjawab. Kerana terlalu takut, aku menangis di dalam tandas dan apabila keluar dari tandas wanita, ada dua tiga rakan termasuklah wartawan berasal dari Sabah, namanya Johny Giles Senin menenangkan aku. Katanya usah takut, itu adalah tugas biasa dan kalau tak dapat contact, nasiblah. Datang seorang lagi rakan wartawan bernama Fadzallah Pit, juga menyatakan yang sama dan beberapa lagi wartawan wanita turut menyejukkan ketakutan aku. Akhirnya aku akur dan memberitahu editor bahawa aku tak dapat menghubungi individu dikehendaki (sebenarnya perkataan tak dapat ni pantang bagi wartawan kerana apa-apa hal ko tonggang terbalik ke kena juga dapatkan orang dikehendaki), editor berkenaan pandang aku dan kemudian sengeh (ceittt dia tak tahu aku dah membazirkan air mata) langsung membenarkan aku balik. Itu adalah kisah ketika aku baru saja beberapa hari melapor diri untuk bertugas di akhbar sisipan Joran di BH.
 
Hari ini, 10 Jan 2014 genap empat bulan mengundurkan diri dari dunia kewartawanan setelah hampir lebih 18 tahun menjadi wartawan di akhbar arus perdana. Pelbagai kisah, cerita, titik bengik dan gossip memasuki telinga. Entah sudah berapa ribu artikel aku tulis, entah berapa ribu orang yang  sudah interview dan sudah lebih berapa ratus ribu langkah aku buat dalam dunia kewartawanan ini. Namun, aku kekal sebagai bekas wartawan BH, satu status yang aku akan bawa sampai akhir hayat dan seronok mengingati pengalaman mahal itu.
 
Pada 10 September 2013 adalah hari terakhir aku mengetuk keyboard di BH dan selepas itu hilang arah kerana tidak menulis. Aku jadi buntu kerana tidak menulis. Bertapa di dalam rumah, setiap kali menghadap computer, blur dan kami menyebutnya sebagai writers block. Kalau di BH dulu jika ada unsur writers block saja aku akan mengajak mafia kilang kertas minum kopi dan akan balik semula untuk sambung mengarang rencana. Aku bukanlah wartawan line hadapan, aku cuma wartawan biasa yang setiap hari keluar mencari berita, menemubual sesiapa yang berkenaan dan sekali sekala dihantar bertugas ke luar negara.
 
Banyak pengalaman dikutip dan antara yang menyedihkan ialah ketika menunggu jenazah Allahyarham Ibrahim Lebar yang terkorban ketika kes Lahad Datu. Ketika itu aku berada di perkarangan kediaman Allahyarham dan ramai lagi orang lain membanjiri kediaman beliau. Jam lapan malam dan langit mula gelap, angin bertiup lembut menyebarkan sejuk dan kesedihan berada di mana-mana pada wajah semua orang di situ termasuk aku. Memang memilukan dan aku tidak dapat bayangkan kalau aku berada di tempat anak-anak beliau.
 
Antara yang lain lagi, berkesempatan menemubual bekas wanita pertama, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali..Tun adalah individu yang penuh sifat keibuan dan sangat merendah diri orangnya. Rasa seperti bercakap dengan emak saja kerana nada suaranya yang lembut dan sederhana. Ya, ingatan yang sangat manis.
 
Seorang lagi individu yang aku sentiasa kenang ialah Sasterawan Negara Allahyarham Arena Wati. Sempat menemubual beliau ketika hayatnya dan menghabiskan hampir sehari suntuk di dalam bilik bacaan beliau di tingkat atas kediamannya sambil mendengar celotehnya yang tiada boleh didapati dalam mana-mana buku sekalipun. Ketika itu isterinya, Makcik Yam, berada di dapur kerana memasak. Ketika mahu pulang, beliau memandu sendiri keretanya menghantar aku balik ke stesen komuter terdekat. Banyak amanat diberikan dan paling aku ingat, katanya kalau ada wang lebih, terus tunaikan haji.
 
Rasanya sebulan pun tidak cukup untuk aku mengenang kehidupan sebagai wartawan. Yang lepas sudah jadi sejarah. Sudah jadi kenangan dan kini aku menghadapi dunia baru, menjalani kehidupan sebagai bekas seorang wartawan. Sehingga minggu lepas, Hui Ping menghantar jemputan kepada  untuk menghadiri majlis memperkenalkan gaya potongan rambut baru oleh Vidal Sassoon yang akan digayakan Amber Chia. Kata Hui Ping lagi, datanglah atas tiket blogger. Sayangnya, aku bukan wartawan lagi dan kini bekas wartawan. Boleh jer aku pi kalau nak, tapi ada tugas lain yang kena buat. Memantau anak buah yang baru masuk darjah 1 adalah perkara yg seronok untuk dilakukan. Dan dua tiga hari ini juga sayer adalah sibuk menyediakan shepard pie yang dipesan rakan-rakan.
 
Aku tau, hidup ini singkat dan walau apa pun yang terjadi, hidup mesti diteruskan. Selepas menyimpan kalam kewartawanan dalam pensil box antic, aku akan mula menulis sendiri mengikut rentak, tiada lagi tekanan atau minda yang sesak kerana aku mengatur sendiri jadual kerja. Boleh minum kopi bila-bila masa saja tanpa perlu menunggu writers block. Ok sebelum membuat entry lain, mau dengar lagu ini dulu..feeling2 Italy ya..
 
 

Aidilfitri pula..

Baru settle meeting dengan Raymond and Angel untuk add Aidilfitri..semoga ada idea untuk buat pantun raya!