Tuesday 21 November 2017

Nikos dan Mesta yang mendamaikan...

If you visit a country, visit the forgotten artisan of the narrow streets because they are the ones who made that country! Do this not to honour them but to honour yourself! - Mehmet Murat Ildan
Artisan Nikos Balatsos yang mengusahakan seni seramik di studio kecil miliknya
di Mesta. Katanya dia menggunakan terracota terbaik untuk menghasilkan rekaan
seramiknya dan melihat hasil rekaannya, saya yakin dia menggunakan
produk terbaik untuk mendapatkan hasil yang bermutu termasuklah
kombinasi  ilhamnnya yang unik.
Kata-kata Mehmet Murat Ildan ini sangat betul. Saya mengunjungi artisan pembuat seramik bukan kerana ingin memberikan penghormatan, anugerah atau apa saja yang sewaktu dengannya kepada beliau, sebaliknya saya bergegas masuk ke studionya kerana saya ingin mencari sesuatu, yang kena dengan 'kesukaan' dan 'jiwa' saya kerana saya tahu ada banyak 'kebaikan' yang akan saya perolehi apabila mengunjungi artisan seperti Nikos Balatsos ini.
Di belakang saya itu adalah sebuah restoran. Kami masuk untuk lunch dan mereka
menawarkan pasta carbonara yang sangat enak, dengan portion yang sangat
besar. Kalau ikut saiz orang Asia, sepinggan pasta mereka
cukup untuk empat orang kita makan.Bayangkan!
Pili air yang ada di belakang studio Nikos. Kewujudan kawasan tadahan air awam ini adalah
pemandangan biasa di Greek kerana air adalah subjek matter
yang penting dalam kehidupan harian mereka.
Sejurus turun dari bas di pekan kecil Mesta itu, saya dan Dr Ros terpinga-pinga kerana tidak tahu apa yang kami ingin lihat di pekan yang beribu batu jauh dari Sg Long dan Petaling Jaya ini. Mesta, antara beberapa pekan kecil di Pulau Chios yang sangat menarik dan menyimpan cerita indahnya yang tersendiri. Sebelum tiba di Mesta, kami sudah singgah di Pirgi.

Bouganvilla menjadi hiasan halaman, saya ambil peluang menzahirkan kejakunan saya
dengan pokok bunga kertas rimbun yang cantik di belakang.
Dengan keluasan yang sangat terhad, ada bangunan kediaman setingkat yang lazim di sepanjang deretan jalan di Mesta. Pusat tumpuan Mesta ini ialah sebuah kawasan lapang yang mungkin menjadi tempat perhimpunan awam, sebuah restoran kecil dan sebuah studio batu yang betul-betul berhadapan dengan tempat kami turun dari bas. Studio (bangunan kecil) itu kepunyaan Nikos Balatsos, artisan hebat dan tersendiri di Mesta. Dunia mungkin tidak mengenalinya, tapi setengah jam berbual dengannya, saya tahu dia artisan bertaraf dunia dan berasa tidak mahu keluar dari studio batu miliknya itu.

Baginya yang sudah berpuluh tahun mengusahakan seramik, dia tidak memikirkan mengenai harga atau persaingan sebaliknya disiplin dan kesungguhan yang dicurahkan untuk menghasilkan setiap rekaan walaupun sekecil duit siling. Dan katanya lagi, dia tidak kisah dengan persaingan kerana dia berada dalam gelanggang yang tersendiri dan berbeza.


"Its not about money or time, but its about commitment, soul and feeling that ive put when i do all the shape. I devote myself, play with it and you must have patience when you deal with it," katanya penuh berhemah dalam slanga Inggeris berbaur Greek. (Nasib baik saya faham dan dia juga faham Manglish saya hahaha).
Hai kucing, nasiblah engkau comel. Layak untuk diabadikan dalam
ingatan..
Satu-satu saya tilik dan pegang seramik kecil yang ada dalam studionya itu. Saya bercadang membeli satu seramik kecik dengan abjad S, sempena pangkal nama saya. Dalam hati berkira-kira juga sama ada berbaloi atau tidak untuk memiliki hasil tangan Nikos itu, yang berharga 20 Euro satu, (sama saiz dengan siling 50 sen). Nasib baiknya, Greek tidak mempunyai abjad S dan saya tidak terkilan tidak dapat memilikinya, tapi berasa selamat kerana 20 Euro itu saya boleh gunakan untuk hal yang lebih penting. Yang penting, ingatan terhadap Nikos dan Mesta kekal dalam ingatan saya. Sambil mengiringi saya dan Dr Ros, dia bercerita penuh minat terhadap produk artisannya yang cantik dan unik itu.

Tiba-tiba dia memberikan kami coklat kopi dan sebiji delima masak merah. Katanya. adalah satu penghormatan kepada tuan rumah untuk memberikan delima kepada tetamu dan tetamu lebih-lebih lagi berasa sangat dialu-alukan apabila tuan rumah menghadihakan delima. Ya, delima mempunyai mitos tersendiri dalam masyarakat Greek dan Turki juga. Bagi orang Turki, delima adalah lambang kesuburan. Ali pernah memberitahu saya, zaman dahulu kala, jika ingin menawan hati seseorang wanita idaman, si jejaka akan menghulurkan delima dan bukannya sekuntum mawar kepada wanita idaman mereka. Nampak tak simboliknya di situ, biji delima yang merah dan cantik serta banyak biji itu adalah lambang kesuburan dalam kehidupan mereka.

Saya tak mampu nak beli produk Nikos, setakat mampu bergambar saja...jadilah!
Berbalik kepada Nikos, beliau menghabiskan masa setiap hari di studio kecilnya itu. Saya sendiri berasa terkesan dan sangat mengujakan sepanjang berada di situ. Seramik adalah kecintaannya dan beliau menggunakan terracota terpilih untuk menempa setiap rekaan, membakar berhari-hari lamanya tempaan berkenaan dan menyudahkannya dengan glaze sebelum dijual kepada pelancong yang datang. Katanya tidak ramai pelancong datang ke Mesta kerana tiada apa yang ditawarkan Mesta selain biru langit dan desir pokok zaitun yang bersemilir dicium bayu sejuk. Pun begitu, saya menyukai Mesta, suka kerana persekitaran yang tenang, sunyi dan sangat memberi ilham dengan langit biru, bouganvilla merimbun yang tumbuh di tepi pintu kejiranan dan sesekali semerbak pasta carbonara menyelinap menusuk hidung. Mesta sendiri ibarat gadis pingitan yang sangat didambakan lelaki yang menghargai keaslian hidup.
Rasa nak petik dan terus makan, tapi awas ini kebun anggur dan zaitun milik penduduk tempatan.
Zaitun masak di pokok, begitu juga denga anggur dan delima yang ranum di dahan, seterusnya menjadi makanan unggas dan burung yang berterbangan mencari rezeki. Betapa kehidupan berlangsung dengan tenang, tiada kekecohan, tiada hiruk pikuk dan tiada bingit yang mengocak damai perasaan. Maka tidak hairanlah Nikos mampu berdiam dan bertahan di pekan kecil yang sunyi dan tersendiri itu kerana dia boleh menumpahkan sepenuh perasaan ke dalam setiap acuan dan tempaan seramik yang dihaslkan. Dia benar-benar menguasai disiplin yang dijalaninya dan dia tidak kisah dengan dunia luar kerana dunianya sendiri sudah cukup mendamaikan!

Saya mahu memiliki studio saya sendiri!

Wednesday 8 November 2017

Turki Part 2: Kula Geopark


Travel brings power and love back into your life - Rumi

Through patience, great things are accomplished.Imam Ali.

The best remedy for those who are afraid, lonely or unhappy is to go outside, somewhere where they can be quiet, alone with the heavens, nature and God. Because only then does one feel that all is as it should be and that God wishes to see people happy, amidst the simple beauty of nature.- Anne Frank

Meskipun bekerja dalam bidang kewartawan, ia tidak mengehadkan saya kepada jurusan lapur dan tulis berita semata-mata. Kata orang, biar kita multitasking, walaupun tidak pakar dalam sesuatu bidang tapi sekurang-kurang ada kemahiran dan berupaya melakukannya apabila disuruh atau ditanya. Teringat pula kepada ayat ini, Jack of all trade but masters of none  maka saya pun ‘terjun’ ke sana ke mari buat apa yang saya suka. Ikutkan hati, banyak disiplin yang ingin saya lakukan, antaranya menyelam skuba, belajar membuat seramik dan menjadi pereka fesyen, namun kudrat yang ada tidak membenarkan saya melakukan semua yang saya mahu kecuali yang benar-benar perlu sahaja dapat dilaksanakan, seperti menjadi wartawan yang sudah saya lakukan sejak 20 tahun lalu.
Semuanya ingin dirakam..

Terkini, menjadi bidang terjun dalam disiplin geologi. Ia ada kena mengena dengan travel saya ke Turki kerana ketika di sana, saya banyak melawat tapak geologi bersama Dr Ros yang mengajar subjek ini di Jabatan Geologi, UM.

Batu daripada perspektif saya adalah berbeza dengan  batu daripada sudut pandang Dr Ros. Oleh sebab dia adalah ahli geologi, maka dia melihat batu gunung berapi, letusan, hakisan dan luluhawa yang ada kaitan secara langsung membentuk batu itu tapi saya melihat batu berkenaan adalah satu tanda bahawa Pencipta kita Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang sesuai dengan fitrah insan. Daripada letusan 82 gunung berapi di Kula yang berlaku beribu  tahun lampau, kini letusan berkenaan menjadi satu bentuk taman batu batan yang sangat unik, dengan kawasan seluas saujana mata memandang dipenuhi tompokan batu pelbagai bentuk dan saiz berwarna hitam.

Kepakaran manusia masa kini (yang juga kurniaan Allah) maka dibuatnya jambatan dan laluan untuk merentas lautan batu batan berwarna hitam itu dan  wujudlah sebuah geosite dinamakan Kula Geopark. Kula bermaksud coklat (merujuk kepada warna tanah akibat letusan gunung berapi yang berlaku dulu). Secara umumnya Kula Geopark adalah satu kawasan yang maha luas yang mempunyai pelbagai bentuk kejadian alam akibat kegiatan letusan gunung berapi lampau. Ada hamparan batu batan, ada kolam air panas yang terbit dari mata air di dalam bumi, ada gunung dengan bentuk hakisan yang mengkagumkan dan ada bukit yang merupakan bekas gunung berapi yang pernah memuntahkan lahar panas pada satu ketika dulu. Semua elemen ini dinamakan geosite dan tertakluk di bawah Kula Geopark.

Kenapa saya tertarik dengan batu batan daripada letusan gunung berapi? Kerana suatu ketika dulu, ketika berada di sekolah rendah (lebih 40 tahun lalu) saya pernah melihat satu rencana mengenai lava muntahan gunung berapi di Jawa yang memusnahkan kampung dan mengorbankan berpuluh nyawa akibat letusan secara tiba-tiba. Sejak itu saya sentiasa teringat akan haba panas lava dan betapa azabnya apabila tercampak ke dalam lava yang panas. 


Mungkin juga terpengaruh dengan cerita ustazah di sekolah dengan cerita gambaran neraka, senario berkenaan kekal dalam fikiran saya sehinggalah saya faham mengenai proses letusan lava daripada mana-mana gunung berapi di dunia ini. Walaupun tidak mempelajari Geologi sebagai bidang disiplin di universiti, saya terdedah dengan subjek Geologi kerana sering mengikuti Dr Ros ke tapak geologi antaranya Kota Tampan dan beberapa lagi sejak 1996. Lama kelamaan minat bercambah sedikit demi sedikit terhadap bidang geologi walaupun saya jauh daripada memahami, sekadar tahu, pun sudah memadai bagi saya.

Sedikit mengenai Kula Geopark, saya petik keterangan daripada laman sesawang Unesco mengenai Kula: Kula Volcanic UNESCO Global Geopark terletak di Wilayah Aegean Turki, di Anatolia Barat di Wilayah Manisa. Kawasan ini bermula dari 200 m  bermula di Bandar Salihli dan naik sehingga ketinggian 600 m di Bandar Kula. Beriklim Mesothermal dengan musim panas yang panas, kering dan sejuk, musim hujan yang hujan dan ada salji tapi jarang berlaku.

Kula Volcanoes UNESCO Global Geopark mempunyai bentuk geologi yang kompleks kerana rejim tektonik yang aktif di wilayahi Aegean suatu ketika dulu, yang merupakan salah satu daerah yang paling aktif dan cepat berubah bentuk di dunia yang dikuasai oleh plat konvergensi, proses geodinamik yang berkaitan dengan perlanggaran subduksi. Ia juga terletak di bawah tanah metamorphis Menderes massif dan unit mélange ophiolitik dari Zon Izmir-Ankara. (Saya tidak memahami seratus peratus, namun boleh memahami secara ringkas kerana saya sudah mengunjungi beberapa geosite yang tertakluk dalam geopark di Kula).
Kolam air panas..
Kula Fairy Chimneys


Kula Volcano
Saya dan Dr Ros di Fairy Chimneys...

Hot Spring
Ia mewakili 200 juta tahun sejarah bumi dari metamofik Palaeozoik kepada volkanisme Holocene. Kula adalah rantau vulkanik termuda di Turki. Gunung berapi Quaternary di kawasan terbentuk dalam tiga fasa letusan (1.1 juta tahun hingga 300.000 dan 15.000 tahun yang lalu). Struktur gunung berapi yang unik di kawasan Geopark Global UNESCO ini terkenal sejak zaman antik di mana ahli geografi Yunani kuno Strabo (63 BC-24 AD) dalam bukunya berjudul 'Geographica' menamakan Kula sebagai 'KATAKEKAUMENE' (kelahiran api) merujuk kepada lava arang batu hitam. (http://www.unesco.org)
Jadi cuba anda bayangkan bagaimana rasanya jika berada di padang batu batan gunung berapi dengan lava cair mengalir dan mendidih? Tapi jangan risau, senario itu adalah ketika volcano masih aktif, kini semuanya sudah mati. Jadi yang ada hanyalah batu batan keras dan sejuk.
Indah! Indah dan unik sebenarnya. Bagi saya, tidak terjangkau akal saya memikirkan bagaimana proses itu berlaku dan kini kita menikmati hasil rupa bentuk mukabumi yang sangat unik dan memberi manfaat kepada manusia sekarang untuk mengkaji serta menilai usia bumi mahupun situasi sesuatu tempat. Menakjubkan bukan?
Begitu juga dengan Kula Fairy Chimneys yang asalnya adalah sebuah sungai besar yang turut menerima percikan lava gunung berapi diikuti proses luluhawa yang panjang, lama-kelamaan berlakulah bentuk sedemikian yang dinamakan chimney. Ada pelbagai bentuk dan saiz. Ia berlaku disebabkan aktiviti letusan gunung berapi yang termasuk ke dalam sungai dan terluluhawa secara berterusan, maka terhasil chimney yang unik.

Laluan jejambat kayu untuk naik puncak Sandal Crater yang berketinggian lebih 100m.
Saya mengambil masa hampir 40 minit dengan berhenti beberapa kali akibat semput namun
seperti kata Dr Ros Fatihah, all about mind set, saya gagahkan diri menapak naik
dan bila tiba di atas, rasa berpeluh dan panas walaupun cuaca sejuk.
Ali menasihatkan saya supaya memakai jaket yang
saya ikat di pinggang kerana cuaca sejuk
agak luar biasa walapun saya berasa panas
ketika itu.
Begitu juga dengan Sandal Crater yang menyediakan satu pemandangan luar biasa dengan ketinggian lebih 100 m tinggi, saya berupaya mendaki hingga ke puncak walaupun terpaksa berhenti banyak kali akibat semput. Percaya tak? Udara bersih yang saya sedut di puncak Sandal Crater itu membuatkan paru-paru saya berasa lapang dan tidak sendat walaupun malam sebelumnya ada sedikit wheezing akibat asthma. Jejantas panjang yang dibina daripada kayu pine menyediakan scenic view yang sangat mengagumkan, dengan pokok pine hijau berderet sepanjang jejantas  berlatarkan biru langit dan warna tanah. Dan udara adalah 100 peratus bersih! Betapa nikmatnya hidup dengan suasana begini... 

Wooden trail untuk naik ke puncak Sandal Crater.
Sambil menapak naik, bayu sejuk menampar pipi
dan mencuri menyelinap ke dalam jaket.
Sejuk dan nyaman...

Beralih pula ke satu lagi geosite, iaitu hotspring yang menjadi punca air yang diproses menjadi air minuman, ia terletak di kawasan tanah tinggi dan jauh dari kawasan kependudukan atau perumahan. Suhu sejuk menjadikan pokok dan tumbuhan sekitarnya diselaputi ais nipis, namun air yang mengalir di sebelah tetap panas..betapa kerdilnya saya untuk menilai kejadian ais di sebelah aliran air panas. Pertembungan kedua-dua elemen ini menjadikan geosite hotspring di Kula Geopark semakin unik dan tersendiri, jauh daripada gangguan dan kekacauan manusia. Ia kekal menyendiri meneruskan legasi alam yang sangat misteri namun memberi impak besar kepada manusia yang faham dan sedar akan kekuasaan Pencipta seluruh alam.
Berlatar belakangkan dataran bukit batu yang berlaku akibat luahan gunung berapi...


Pokok menjalar yang diselaputi ais nipis..

Matahari memancar terik mencuri masuk melalui celah dedaun
pine namun cuaca sangat sejuk sebenarnya..dan saya berpeluh
ketika menapak naik ke trail Sandal Crater..
Jika ada peluang, saya ingin jejakkan kaki lagi ke daerah terasing ini lantaran Ali juga sudah menegaskan kami adalah saudara dan bukannya orang asing, justeru beliau mengalu-alukan bila-bila masa sahaja jika kami ingin mengunjunginya yang menetap di Kula dan pernah bekerja di Cappadoccia sebelum ini. Suami kepada Narges dan bapa kepada tiga anak ini begitu setia dan sayang akan keluarganya. Sebagaimana dia mengambil endah akan Kula Geopark yang dikendalikannya, begitu juga dia mengambil berat terhadap keluarga kecilnya dengan meminta kami membuat ucapan kepada Narges dengan mengatakan "Hi Narges, Ali really loves you..." Lelaki ini melahirkan kasih sayang dengan cara tersendiri. 

Tuesday 7 November 2017

Turki Part 1: Kula and who is Amina, Ali, Zaynab, Nusrien, Azmi and Yigit

When you travel and you pass people on the street, some are for you, some are not. And in this case, Amina is belonging to us, includes Ali, Zaynab, Nesrien etc..and the journey begins..

Apabila saya mengambil keputusan untuk travel ke Turki bersama seorang pensyarah Geologi dari UM, Dr Ros Fatihah Muhammad, saya sudah memikirkan kemungkinan senario yang akan kami hadapi ialah tiada acara shopping, tiada senario travel seperti tour yang sudah disusun oleh penganjur apatah lagi lokasi lawatan kami sudah semestinya taman batu atau geopark. Dan saya suka dengan aturcara ini, shopping is not in our list kerana saya bukan berwang tapi saya tetap mahu melangkah jauh..

Sebagai pengenalan, Kula terletak dalam daerah Manisa, di bahagian Barat Turki. Ia adalah sebuah kawasan geopark (Kula Geopark) dan diperakui oleh UNESCO sebagai sebuah kawasan yang dilindungi (Kula Volcanic Geopark), also known as Kula Geopark. A protected area of geological heritage, located in Kula, Manisa. It was recognized by UNESCO as a Unesco Global Geopark in 2013, and is the country’s only geopark. – Wikipedia. 


Kami tiba di Kula setelah menaiki sebuah bas kecil dan sebelumnya sudah lapan jam berada di atas bas dari Pamukkale. Jam sudah hampir 2 petang dan tiada seorang pun di atas bas kecil itu yang tahu berbahasa Inggeris, namun ada dua wanita pertengahan usia yang sangat rajin berbual. Walaupun tidak memahami butir percakapan mereka, kami tetap senyum dan mengangguk. Kami hanya menyebut Kula Geopark dan memang dua patah perkataan itulah saja yang turut difahami pemandu bas dan dua wanita berkenaan.

Dengan luggage sederhana besar dan satu beg sandang, kami turun di Kula dan wanita berkenaan beria-ia mahu kami mengikut beliau. Saya dan Dr Ros membuat dialog sendiri.

Dr Ros: Agaknya dia nak ajak kita g makan tengah hari rumah dia kot ya..hehe
Saya: Tak mungkin, dia tak kenal kita. Ke dia nak jual kita..ehh tapi sini muslim kan
Dr Ros: Iskk nak jual ke..tak mungkin.Kita ikut saja ya, lagipun ini siang hari, kita nampak dia nak g mana.
Saya: Ok kita tawakal. Semoga Allah bersama kita..dan dia juga. Kita bersangka baik ya Dr Ros, sebab kita pun orang baik ahahaha (kami berdua ketawa untuk pujuk hati sendiri. Sebenarnya dalam hati kami, hanya Allah yang tahu bahawa kami sesat dalam dunia asing dan berjalan ikut kaki..)
Saya dan Aminah yang beria-ia ingin membantu kami. Sayangnya, kerana terlalu gembira
saya terlupa mengambil no telefon Aminah, yang sangat ingat ialah mengajak beliau bergambar sahaja. Semoga Allah
membalas jasa baik Aminah kepada kami...
Dalam kalut berfikir dan ikut wanita berkenaan setelah beberapa minit berjalan, kami dibawa masuk ke dalam sebuah bangunan pejabat dan diperkenalkan dengan seorang receptionist di situ. Wanita berkenaan beria-ia menerangkan kepada wanita yang lebih muda di situ dan akhirnya muncul wanita yang juga muda berbaju dan bertudung hitam, dia memperkenalkan diri sebagai staff di situ.

Dia: Are you speak German? Italy? Turkish?
Kami: No..we speak English, little bit Arabic and Malay.
Dia: Ok, not a problem. I am Zaynab. Youre at Kula Municipal Office now and this lady told us both of you want to visit Kula Geopark.
Kami: Yes! Yes Kula Geopark.
Zaynab: We will connect you with Tourism Dept which manage the geopark and the person is Mr Ali Karatas. Wait a minute...

Saya dan (dari kiri) Zaynab, Ali Karatas dan Nasrien...
Dang!!!! Kami rasa nak melompat dan menjerit kegembiraan sebab akhirnya ada orang faham tujuan kami dan boleh bercakap dalam bahasa yang difahami. Sambil menunggu Mr Ali Karatas dari Pejabat Tourism yang juga berada di bawah Kula Municipal Council, kami diberi teh dan jus buah oleh petugas di situ. Sambil menunggu Ali, kami diperkenalkan dengan Nasrien dan kami ambil peluang tanya apakah nama wanita yang bawa kami ke sini tadi. Namanya Aminah dan katanya dia tahu kami nak visit geopark, sebab itu dia bawa kami ke pejabat Mayor ini. (Ya Allah, saya nak sujud syukur sebenarnya di situ tapi keadaan tidak sesuai, jadi saya buat kemudian bila dah ada di hotel).

Tidak lama kemudian, Mr Ali Karatas muncul dan perjalanan kami ke Geopark pun bermula. Dari pejabat Mayor, kami dibawa ke pejabat Mr Ali dan diperkenalkan pula dengan Ketua Ali, Mr Azmi Acikdil dan Yigit Karakuzu. Nasib menyebelahi kami apabila Azmi memperkenalkan diri beliau mengenali Prof Emeritus Dato Dr Ibrahim Komoo (yang tidak asing lagi dengan bidang geologi di Malaysia). Dan Dr Ros juga pernah bekerja dengan Prof Ibrahim. Jadi atas 'enthusiast' terhadap geology, Azmi meminta Ali membantu kami untuk melawat Kula Geologi Park. Mereka menganggap kami tetamu istimewa Kula memandangkan sebelum ini sangat jarang pelancong asing muncul di Kula semata-mata untuk melawat Geopark di situ (Malah kami anggap kami pelancong Malaysia yang pertama melawat Kula Geopark..melampau tak? Hahahah who cares!)

Sekali lagi kami rasa Allah sangat menyayangi kami kerana diberi kemudahan mengenali orang yang tepat dalam perjalanan berbeza bahasa ini dan Ali membantu kami selama dua hari sehinggalah kami menaiki bas meneruskan perjalanan ke Izmir dan seterusnya ke Cesme untuk ke lokasi seterusnya.

Sambil duduk di bilik penginapan, saya terfikir betapa Allah memudahkan perjalanan kami ke tempat yang tiada tercatit dalam peta pelancongan Turki walaupun ia diperakui Unesco dan pelancong Malaysia juga mungkin tidak terfikir untuk memijak tanah Kula kerana tiada apa di sini. Kula sebuah pekan kecil, aman, cool dan penduduknya sangat tenang. Elemen pelancongan di sini hanyalah geopark dan saya tidak fikir ada pelancong Malaysia yang berminat untuk menjelajah tapak kawasan bekas letusan 82 volcano beribu tahu lalu. Kini semua volcano itu sudah mati, yang tinggal hanyalah kesan letusan dengan tanah berwarna coklat (Kula) dan Kula mendapat namanya dari warna tanah akibat letusan 82 volcano itu. 
Dr Ros (dari kiri), saya, Mr Azmi dan Yigit.

Ali Karatas yang membantu merealisasikan perjalanan geopark kami menjadi kenyataan. Semoga segala kebaikan Ali dan yang rakan-rakannya diberi kebaikan juga kepada mereka oleh Allah SWT.
Selain Basaltic Lava Flow Plains, kami turut ke Kula Fairy Chimneys, Kula Hot Spring, Cakirca Basalt Column Site dan Kula Divit Geotrail yang sangat mengkagumkan. Kami melihat kebesaran dan kejadian Allah yang sangat mengkagumkan..tidak terucap sebenarnya!

To be Continue..

Thursday 19 October 2017

Rebut 'tawaran' selagi ada...

'Ambil' jika rasa apa yang saya tulis ini bermanfaat dan abaikan jika berasa ia tidak mendatangkan kebaikan untuk anda...


Setiap detik jarum jam yang bergerak, usia saya pun bertambah dekat dengan kematian. Jarak yang tak nampak itu makin dekat sebenarnya dan secara tidak langsung juga, sudah jauh perjalanan yang saya tempuh. Ironinya hidup kita, dari satu sisi macam kita dah berjalan berjuta batu dan dari satu sisi lain kita sebenarnya sudah amat dekat menuju negeri yang dinamakan akhirat yang mana di negeri itu ada daerah yang boleh dinamakan sebagai padang mahsyar dan ada pula pembahagiannya seperti neraca titian Sirotolmustaqim dan banyak lagi. Kenyataannya saya dan anda menuju kematian kerana mati itu pasti, tapi jalan yang kita pilih atau lalui mungkin berbeza.

Saya kerap berdoa dan menyebut pada Allah, kalau mahu diambil nyawa saya, biar saya dalam keadaan baik dan tidak menyusahkan adik beradik atau orang lain. Kalau Allah mahu ambil balik nyawa yang dipinjamkan pada saya ini biar jasad saya sempurna..(kerana saya tahu ada orang pernah mendoakan saya supaya mati dilanggar lori atau kereta..hahaha..macam dia itu Tuhan kan...tapi saya cool sebab saya tahu nyawa kita Allah yang punya)

Saya mahu jasad saya sempurna supaya mudah orang yang memandi dan mengkafankan jasad saya, supaya tiada rasa jengkel atau jijik mereka bila mengkafankan saya kerana jika kain kafan itu putih, tentu mudah untuk mereka menguruskan jasad saya. Wallahhu..semoga Allah ambil kira permintaan saya ini...tak lain dan tak bukan saya tak mahu menyusahkan orang yang hidup, sama ada adik beradik saya atau pengendali jenazah untuk menguruskan jasad saya bila nyawa/roh  saya sudah keluar dari jasad, itu saja. (Termasuk dalam senarai yang saya nak buat ialah belajar memandikan jenazah..semoga dengan niat ini Allah bagi saya peluang dan masa untuk belajar)

Ok bukan nak bercakap pasal kematian sebenarnya, tapi saya teruja sungguh dengan satu 'motto' yang pernah disebut oleh sahabat seperjalanan saya (travel buddy), Samsiah Jendol atau lebih dikenali dengan @littlesyam. Kami bercakap apa saja bila berjumpa. Buat lawak, bercakap bahasa pelik, makan, tidur, diskusi dan macam-macam lagi. Walaupun saya bukan BFF dia, tapi saya isytiharkan dia kawan saya sampai akhir hayat saya sekiranya saya panjang umur.

Ada satu hari tu, dialognya begini:

Syam: Sha..jom kita buat satu kebaikan setiap hari..
Saya: Satu kebaikan..hmm bagus tu..
Syam: Ya..walaupun kecil
Saya: Ok nak buat lahh..
Syam: Kalau 30 hari, dah 30 kebaikan kan
Saya: Whoaa banyak dah tu.. 
Syam: Ok kita buat ya..
Saya: Yeszaa..

Jadi, setiap hari saya  mencari peluang untuk berbuat kebaikan pada kadar yang termampu. Nak bagi sedekah duit, saya pun tidak mempunyai wang lebih, tapi cukup untuk sara hidup saya. Saya berdoa supaya ada ilham lain yang muncul di kepala saya untuk berbuat kebaikan.  (Entry ini saya buat kerana berasa gembira dengan apa yang saya lalui kini. Mungkin kegembiraan anda Allah kurniakan dalam bentuk lain manakala kegembiraan saya ialah boleh bernafas dan hidup dengan selesa hari ini. Esok lain cerita. Dan bukan nak show off tapi nak ajak anda lakukan yang sama jika berasa positive dengan apa yang anda baca di sini. Tak nak buat pun tak apa..terpulang. Sekurang-kurangnya saya sudah share satu ilham baik hari ini kan..)

Setiap hari sambil memandu pergi dan balik kerja, otak saya berfikir apa yang boleh saya lakukan supaya Allah dan malaikat berasa terpanggil untuk ambil peduli dengan kehidupan saya. Sudahlah saya ini tiada ibu bapa, kalau Allah tidak mahu lagi memandang saya, pada siapa lagi saya mahu mengadu. Sebetulnya, saya suka sangat keluar masuk ikut Universiti Malaya ketika pergi dan balik kerja. UM adalah alma matter saya. Sampai bila-bila saya tidak akan jemu melihat pemandangan dalam UM ini. Petang minggu yang lalu, sejurus memasuki gate UM di bahagian PJ, terdetik dalam hati saya untuk meminta pada Allah supaya bagi peluang kepada saya menutup hari itu dengan satu kebaikan. Jam sudah 7 malam, hari makin gelap. Ketika melepasi perpustakaan utama UM, saya nampak seorang budak perempuan berjubah labuh warna hitam berjalan kaki menuju ke hentian bas paling dekat. Saya lihat di cermin depan, tiada kereta di belakang. Jadi jika saya berhenti secara mengejut pun, saya tidak akan mengganggu perjalanan kenderaan lain. 

Saya hentikan kereta di sisi budak perempuan itu, dia takut-takut melihat saya membuka tingkap kereta. Saya bertanya jika dia ingin balik ke kolej, saya boleh hantar. Dia lihat jam di tangan, saya katakan padanya dah masuk Maghrib, jom kakak hantar kalau nak balik ke kolej. Dia teragak-agak tapi ada sedikit senyum. Dengan senyum yang agak terkawal dia masuk ke dalam kereta saya dan saya bertanya lagi mahu balik ke kolej berapa. Kolej 12 katanya. Jarak ke kolej penginapannya tidak jauh jika berkereta, sekadar tiga minit saja sebenarnya tapi jika menapak dan dalam keadaan hari yang sudah gelap serta azan berkumandang, suasana akan jadi sedikit sukar. Dia mengucapkan terima kasih sambil berkata nasib baik dia tidak akan terlepas menunaikan solat Maghrib. 

Manakala saya sendiri berasa Allah masih sayang dan peduli pada saya walaupun saya ini hamba yang bukan baik. Selepas menghantar Maryam (saya sempat bertanya namanya, MasyaAllah..arwah mak saya juga nama Maryam) balik ke Kolej 12, saya bertembung dengan seorang lagi penuntut berbangsa Cina yang sedang berjalan kaki untuk balik ke kolej. Saya 'gamble' berhentikan kereta dan ajak dia naik. Penuntut perempuan ini naik dan terus berkata kenapa saya pelawa dia naik. Saya kata sebab saya agak dia mahu balik ke kolej. "Saya tidak sangka akan berjumpa dengan orang seperti Kakak." "Ohh saya patut ucap terima kasih pada awak kerana bagi saya peluang berbuat kebaikan hari ini, demi pesanan emak saya yang sudah meninggal (dan demi nawaitu saya yang ingin berbuat satu kebaikan setiap hari)."
"Saya Zhi Meng. Terima ya Kak."
"Ok Zhi Meng. Selamat malam.."

Saya berasa terkejut dan sangat suka kerana saya hanya minta untuk buat satu kebaikan saja tapi Allah sudah temukan saya dengan dua orang dan membolehkan saya buat dua kebaikan dalam masa yang singkat. Saya bawa kereta dengan kadar kelajuan yang agak lebih sedikit supaya saya sempat solat maghrib di rumah sebelum azan Isya masuk. Dan memang sempat pun..

Ya Allah, aku mampu berbuat apa saja dengan ihsan dan kuasaMu. Terima kasih Allah!

Wednesday 18 October 2017

Belajar menjadi 'perakam' yang baik

Perakam? 
Perakam apa? 
Perakam kepada kehidupanlah, merakam hidup sendiri. Apa kau buat hari ni Shasha? 
Mana awak pergi hari ni Sha? 
Makan apa tadi masa jumpa Hidi? 
Kejap lagi nak jumpa Amirul kan? 
Jadi ke awak jumpa budak Johor tu? 
Sekarang saya kat FBUM sama Ateh..kami lepak sini kejap sementara saya nak tunggu Amirul call. Siapa Amirul tu? 
Eh pagi tadi p Menara Sri Penara kan beli nasi dagang Sinar nak pi makan kat Studio Little Syam kan?
Lepas tu ada kat situ sampai pukul berapa? 
Semalam buat apa Shasha? 
Tidur kol berapa? 
Bukan pergi swimming ke?
Semalam ada whatsapp Dr Z ke? Dia reply kau tak?
Tiba-tiba aku rasa bodoh je whatsapp mamat tu, dia bukan ada perasaan pun, dia tu tak lebih macam dracula jerrr...!

Ehh apa saya tulis ni? Merepek je Shasha..hmm..jenuh berfikir apa saya nak tulis di sini. Kalau jumpa Lily Haslina Nasir, penulis novel mapan dan bekas wartawan Jelita yang menang pelbagai anugerah tu, dia pasti geleng kepala bila dengar cerita dan pengalaman hidup saya. Balik-balik dia akan kata, Sha..kalau aku jadi kau, berkepuk dah cerita yang aku boleh tulis. Kau duduk sorang dah bertahun, kau pergi kawad dan masuk hutan selama tiga tahun, kau berjalan ke mana-mana sambil belajar masak tu pun boleh buat cerita. Iskk ruginya Sha kau tak tulis apa-apa.

Agaknya inilah perjuangan penulis tegar seperti Lily Haslina. Saya kenal dia sejak 1991 dan kami sama-sama belajar di Jabatan Pengajian Media UM. Cuma laluan kami tidak sama ketika di Tahun 3 pengajian. Dia lepas mengkhusus subjek lain dan saya kandas di Tahun 2 kerana sebab yang saya tidak ketahui, namun kegagalan itu tidak merencatkan perjalanan hidup saya, bahkan saya jadi lebih kebal (dengan kuasa Allah dan dengan ihsan Allah) untuk meneruskan hidup.

Ketika saya melakukan latihan amali mengenai filem di Kota Bharu, saya mengikut produksi Sutradara Mior Hashim Manap bersama dengan krew dan beberapa student lain. Walaupun hanya tiga bulan, ada seribu satu pelajaran yang saya terima dan kutip. Antara yang saya ingat ialah:

Merakam kejadian atau peristiwa harian tanpa menulis sesuatu...
Ketika latihan amali ini, saya memegang tugas sebagai Konti Girl. Tugas sebagai konti sebenarnya amat menakutkana saya kerana sebagai penjaga konti, saya perlu ingat skrip dan dialog cut atau pause di mana. Bukan setakat skrip, saya juga perlu ingat dan tahu mekap pelakon bagaimana ketika itu, rambutnya dibelah tengah atau tepi, kostum apa yang dia pakai dan dalam posisi apakah dia berada ketika pengarah jerit 'cut.' Semua ini saya kena ingat, catat, tahu dan cergas memberi jawapan jika Pengarah tiba-tiba menjerit pada saya, Konti!! Tadi scene 9 cut kat mana? Tu, watak utama tu pakai apa ketika scene 12 tadi? Semua ini tugas konti. Saya bernasib baik kerana rakan seuniversiti, Che Kem ada ketika itu menjadi salah seorang krew Abang Mior. Jadi, bila saya lupa, Che Kem akan ingatkan pada saya semua itu. Dia sangat cekap dengan tugas yang diberikan selain membantu saya menjalankan kerja konti.

Dalam ramai-ramai artis yang turut ada dalam produksi ini ialah Zaidi Omar. Kami panggil dia Abang Zaidi dan ada krew yang panggil Tapa sebab dia memegang watak Tapa dalam filem Perempuan, Isteri dan Dot Dot Dot bersama Sofia Jane. Kadang-kadang bila dah selesai tugas, saya mengambil peluang berbual dengan dia yang memang artis hebat. Bagi saya, bukan senang nak bersembang dengan artis yang dikenali ramai seperti dia. Satu perkara saya perasan mengenai Zaidi ini ialah jarang melihat dia memegang skrip ketika mahu shooting. Bila pengarah kata nak shoot scene sekian-sekian dan jika dia ada dalam scene berkenaan, laju saja dia muncul dan akan cakap pada saya baju sekian-sekian yang perlu dia pakai untuk sambung scene berkenaan. Saya apa lagi, senyumlah sebab dia memudahkan kerja saya, tak perlu saya gali ingatan nak ingat apa yang dia pakai.

Saya: Abang Zaidi boleh ingat skrip ya, saya jarang nampak abang pegang skrip time nak shooting?
Zaidi: Ya Sha, sebab abang dah ingat skrip tu.
Saya: Bila masa abang hafal?
Zaidi: Bila dapat skrip, abang baca sekali lalu. Sebab tu kadang-kadang abang suka tanya Pengarah esok dia nak shoot scene apa, supaya malam ni abang boleh tengok-tengok sikit.
Saya: Tapi banyak juga nak kena baca kan.
Zaid: Ya, tapi ada cara nak ingat semua ni Sha.
Saya: Share dengan saya boleh tak? Saya ni kadang-kadang tak dapat nak ingat apa yang saya buat dalam satu hari. Bila petang, dah lupa apa saya buat pagi tadi. Bila malam, apa pula saya buat petang tadi.
Zaidi: Senang je Sha.
Saya: Macam mana?
Zaidi: Bangun pagi, lepas solat Subuh, doa pada Allah supaya diberi kesihatan yang baik, kuat ingatan, sihat tubuh badan, mata pun cerah.
Saya: Itu je ke?
Zaidi: Ada lagi. Itu yang wajib laa kan. Sambil-sambil minum kopi masa sarapan pagi tu, cuba ingat balik apa yang Sha buat selepas solat tu, berdoa kan? Lepas berdoa, bangun dan lipat sejadah kan?
Saya: Ya betul.
Zaidi: Lepas tu salin baju? Salin kain? Turun ke dapur? Atau duduk sekejap kat birai katil? Cuba ingat balik setiap perbuatan atau disiplin yang Sha buat satu persatu. Macam kita tengok balik sebuah tayangan drama, dari sekecil-kecil perbuatan hinggalah ke disiplin yang lain. InshaAllah, lama kelamaan Sha akan jadi biasa dan boleh ingat apa yang Sha dah buat sejak celik mata..sampailah nak tidur balik dah pun.
Saya: Wahhh bagusnya kalau boleh ingat semua. Abang Zaidi buat macam tu ya?
Zaidi: Ya, setiap hari abang buat. Solat jangan lupa ya. Selalunya bangun tidur je abang dah start merakam dalam minda apa yang abang buat, abang pusing badan sebelah kiri atau kanan masa bangun, kaki mana dulu yang pijak simen masa nak turun katil
Saya: Ok terima kasih bang. Ilmu ini saya tak akan lupa. 

Dan saya tak sempat nak amalkan apa yang Zaidi Omar ajar saya ini, tapi kini saya baru ada kesempatan untuk mempraktikkan apa yang dia ajar saya. Abang Zaidi, saya harap abang masih ingat budak konti yang sentiasa semput dan gelabah tiap kali Abang Mior kata nak shoot. Hehe...saya lah budak konti itu. Dan perkara kedua yang saya belajar ketika jadi krew Mior Hashim Manap ini ialah tentang kasih sayang dan mengalah bukan  bererti kalah...

Kasih sayang dan mengalah bukan bererti kalah...
Sebagai pelajar tahun 3, saya banyak belajar dengan krew Abg Mior yang ada ketika itu Antaranya Bai, Kamarul, Pu'ed, Abg Mat Nor, Pak Lan, Che Ann, Mas Ku Zaid, Ahmad Insani dan sudah semestinya Abg Mior sendiri. Manakala pelakon yang ada dalam group ini pula ialah JD Khalid, Aunty Sofia Ibrahim dan dua pelakon tempatan yang saya sudah lupa namanya. Jadi, Abg Mior ini sangat serius time shooting dan kadang-kadang lupa makan kalau time dia stress nak siapkan sesatu scene. Ada juga dia akan panggil saya dan tanya apa pandangan saya mengenai scene yang akan dishoot selepas ini. 

Dia suka juga menguji minda saya kerana katanya sebagai anak murid Dr Anwar Nor Arai, tentu saya mempunyai pendapat yang bernas (walaupun saya tidak majoring filem). Saya akan cuba sedaya upaya memberi pandangan meskipun saya tidak mahir dalam filem, tapi saya akui saya seronok jadi krew kerana disiplin ini mendedahkan saya kepada satu etika kerja yang berbeza dengan minat saya. Ketika itu, Kak Izzie (isteri Abg Mior) ada juga jenguk kami di lokasi sambil bawa anak  sulung mereka, perempuan, yang kami pagi Gegirl. 

Kalau tak silap saya namanya Raihan dan kini mungkin Raihan pun sudah berusia 24 tahun. Jadi anda boleh agak berapa usia sekarang  kan mueheheh. Ada satu ketika, kami dapat tahu Kak Izzie mengamuk dan bergaduh dengan Abg Mior. Jadi kami sebagai krew sudah kecut perut kerana jika mood Abg Mior lari, shoot pun akan jadi 'lari' juga dan hari shooting akan jadi bertambah. Seperti yang dijangka, Kak Izzie datang ke lokasi dan marah-marah. 

Pung pang pung pang! Abg Mior senyap saja.
Gedebuk gedebak gedebuk gedebak! Pun lelaki pengarah drama Tok Aji itu senyap.
Ahh Uhh Ehh Aaa! Tak dengar sepatah haram pun perkataan marah atau tinggi suara dari Abg Mior.

Kami hanya memerhati dari jauh sambil berdoa supaya 'drama' Abg Mior dan Kak Izzie cepat berakhir. Kami resah kalau Pengarah hilang mood. Kami resah kalau shooting lambat habis.Sampai sudah kami tak tahu apa punca Kak Izzie mengamuk. Ya, kami masih memerhati..

Tiba-tiba kami yang dalama hening ini dengar dialog antara Abg Mior dan Kak Izzie.

Abg Mior: Dah habis? 
Kak Izzie: Habis apa? (nada tinggi dan masih berbaur kemarahan)
Abg Mior: Dah habis marah?
Kak Izzie:.....senyap....tiada kata-kata.. (kami yang krew ini dalam hati masing-masing aahh sudah kalau berterusan macam ni..)

Tiba-tiba lagi,..kami nampak Abg Mior mendekati Kak Izzie dengan lembut dan penuh kasih sayang, memeluk isterinya itu. Nampak juga dia membisikkan sesuatu ke telinga isterinya itu dan pelukan itu lama...beberapa minit. Kemas dan kejap, diam membatu namun  'scene' berkenaan melegakan kami kerana tiada refleksi yang tidak diingini dari Kak Izzie..ahhh hati kami lega dengan 'pelukan kasih sayang' dan tindakan seolah-olah 'mengalah' itu sebenarnya satu kemenangan kpd krew dan Abg Mior. Sampai sudah kami tidak tahu apa yang diucapkan Abg Mior ketika dia memeluk isteri kesayangannya itu. Yang kami tahu, Abg Mior kata, tidak susah memenangi hati isteri dan tidak payah juga menghancurkan sebuah kepercayaan seorang isteri. Jadi, pilihlah apa yang kamu mahu.

Ok Abg Mior dan Kak Izzie, saya potretkan scene ini di sini kerana saya melihat kejadian ini adalah satu scene yang sangat bermanfaat dalam perhubungan suami isteri. Saya rasa sesiapa yang membaca ini faham apa yang saya maksudkan. Dan kali terakhir saya bersua dengan Abg Mior dan Kak Izzie ialah tiga tahun lepas di Marriot Putra Jaya. Mereka berdua masih mesra berkasih sayang dan masih ingat saya, tetap memanggil saya dengan panggilan yang sama..iaitu Idah.

Alhamdulillah, saya masih boleh mengingat dengan baik apa yang saya 'rakam' dalam minda pada tahun 1993 yang lalu. 

Ya Allah, aku mengingat sesuatu kebaikan itu keranaMu dan aku mampu mengingati segala-galanya dengan KuasaMu..


Sunday 24 September 2017

ER Beach Cleaning Pantai Tanjung Tuan..

Saya pun tak pasti macam mana saya boleh ada kudrat untuk mendaki Bukit Batu Putih di Pantai TanjungTuan minggu lepas, yang saya pasti tiada penyesalan melakukannya walaupun lepas balik dari PD, kaki dan badan lemau sebab letih. Saya kira ini adalah letih yang nikmat kerana banyak perkara saya belajar daripada adik-adik yang terbabit sama dalam projek pembersihan pantai di PD ini. Ketika Rahmad tanya saya nak join tak event bersih pantai, saya jawab selamba, nak! Tanpa tanya terlebih dahulu apa aturcaranya. Dia bagi tahu saya katanya ada kegiatan mendaki bukit yang rendah saja sambil mengunjungi rumah api di pantai berkenaan. Dalam fikiran saya, wahhh rumah api tu, sure gambar insta saya cantik nanti tapi hakikatnya gambar ke mana saya ke mana.

Kalau ikut perancangan kami akan buat beach cleaning dulu kemudian sebelah petang baru nak mendaki dan naik ke rumah api, tapi disebabkan faktor cuaca mereka dah tukar plan kepada mendaki dulu dan beach cleaning akan berlangsung waktu petang. Saya sebenarnya sudah merancang untuk skip acara mendaki dan mengunjungi rumah api kerana saya tidak melakukan sebarang latihan membabitkan stamina, namun keadaan mengubah saya untuk ikut serta. Tak mahulah saya duduk seorang di tepi pantai sedang mereka semua mendaki. Tambahan pula Rahmad dan Idah (isterinya) yang ajak saya join ni pun sudah membakar semangat saya untuk mendaki sama. Katanya rugilah datang jauh-jauh kalau tak mendaki. Tambahnya lagi, Bukit Batu Putih ini rendah saja dan tak lama pun nak mendakinya. Jadi saya cuba mengumpul semangat untuk ikut serta. Bagi saya yang berat mencecah hampiri 90kg dan tiada persediaan mendaki dicampur pula dengan 'semput' yang mengada-ngada, saya gagahkan diri dan semangat mereka pun berkobar-kobar nak lihat saya sampai di puncak.
Kepada Jojo, Rahmad, Idah, Salmi dan Mawar, tq sangat. Semangat awak semua buat saya rasa segan nak berhenti separuh jalan.
Jojo: Kak, saya tak boleh tinggalkan akak sorang kat tengah hutan ni walaupun ada pondok berhenti. Akak tanggungjawab saya sekarang. Meh saya tolak meh hehe..
Saya: Jojo, korang p naik laaa..akak nak stop sini.
Jojo: Ok kawan-kawan, kita stop lima minit bagi kakak kita take 5...
Saya: Lahai korang jangan buat akak malu aaa..
Rahmad: Come on Kak Sha buleh tu
Idah: Ye Kak Sha meh Idah pegang tangan..
Salmi: Kak Sha, kawan saya lebih besar dari Kak Sha tapi mampu daki Gunung Datuk Kak...so akak pun bolehhhh hahaha
Mawar: Come on kak, lagi 15 langkah jer lagi...

Tuptup ehh dah sampai ke atas!
Sepanjang mendaki, kami berselisih dengan ramai pendaki yang sudah selesai dan mahu turun. Melihat situasi saya yang malas dan lemau, ramai juga yang tegur dengan kata-kata semangat. Katanya lagi 15 langkah je nak sampai puncak. Ya lah tu 15 langkah..5000 langkah sebenarnya hahaha saya tertipu hidup-hidup. Bagaimanapun, ada semacam satu rasa nikmat apabila saya berjaya tiba di atas. Saya mampu melakukannya!
Sebelah petangnya selepas makan tengah hari kami menaiki banana boat ke Pulau Intan untuk membersihkan kawasan berkenaan. Banyak botol plastik dan polistrin mencemari pantai berkenaan. Pantai cantik, tapi kurang bersih. Sayang! Terima kasih kepada Earth Rescuer yang mengambil inisiatif buat aktiviti bersih pantai ini. Dapatlah juga saya join sambil menumpahkan peluh dan mencabar diri supaya lebih cergas..
Pantai Pulai Intan dilihat dari puncak Bukit Batu Putih...cantik sangat.
Kami balik ke Pantai Cermin menaiki banana boat dan bawa bersama guni sampah tu. Cuba bayangkan bagaimana kecut perut meredah ombak dengan sebelah tangan pegang sampah dan sebelah lagi pegang pemegang di banana boat. Alhamdulillah kami selesai dengan jayanya dan diharap usaha yang kecil ini berupaya menyumbang kepada kebersihan alam yang lebih besar..

Tuesday 12 September 2017

Terung masak sambal..

Kalau jual makanan sedap, kedai kecik ceruk mana pun orang cari. Kalau kedai bersih dan makanan sedap, satu bonus juga. Kalau kedai tepi jalan, nak parking susah, panas dan sempit? Macam mana? Nak cari juga? Saya tidak meletakkan kriteria tertentu terhadap kedai, tapi 'ya' pada makanan. Kalau harga makanan agak mahal, tapi sedap..maka saya akan ulang pergi ke kedai berkenaan.


Berkerja di kawasan Seksyen 13 di Petaling Jaya, saya agak beruntung kerana senang nak cari makan waktu tengah hari. Beberapa langkah saja dari pagar pejabat, ada sederet kedai makanan mix and match. Saya namakan mix and match kerana di situ memang jadi tumpuan Melayu, Cina dan India makan setiap hari dan deretan kedai makanan kecil itu beroperasi seawal jam 5 pagi dan tutup jam 5 petang. Ada peniaga Melayu, Cina dan India. Time nak makan tosei saya tuju ke kedai Ane, time nak makan yee mee saya lepak kat kedai aunty dan time nak makan nasi campur saya duduk kat kedai kakak nasi campur.
Serdak atau bumbu ayam goreng yang crispy..Ada satu kedai nombor dua dari hujung, mereka offer maggi goreng, mihun goreng, kuetiau goreng, mee goreng dan nasi goreng. Ada lauk ayam goreng rempah, taufu telur, nugget, sambal tauhu tempe, telur mata, potato wedges dengan lada hitam dan sambal terung. 
Terung Sambal..rasanya sama sejak dua tahun lalu..saya masih tak boleh move on dengan menu ini...rasa nak letak dalam frame je sambal terung ni...
Kebiasaannya, sejak hampir dua tahun bekerja di sini, saya makan makanan yang sama tanpa jemu iaitu sedikit maggi goreng + mihun goreng + sambal terung + RM3. Kalau saya tambah ayam goreng rempah, harganya jadi RM6.50. Masih berbaloi kerana ayam pun mahal.

Satu perkara yang saya suka kedai nombor dua dari hujung ini ialah makanannya dijual pada harga yang agak murah dan sedap. Rasanya sama sejak saya mula-mula makan dan harga tak berubah. Saya tahu ada preservatif dalam makanan berkenaan tetapi dalam jumlah yang terkawal kerana tekak saya tidak berasa haus dan sambal terungnya sangat sedap. 

Paste sambal yang digunakan itu kena masam dan manisnya. Rasa jus bawang merah terasa-rasa dan terung masak sempurna pada penilaian saya. Begitu juga dengan ayam goreng rempah yang serdak serainya sedap sangat walaupun serabut dengan serai dan daun kari yang digoreng garing. Saya tak makan kulit ayam tapi ayam goreng rempah dari kedai nombor dua dari hujung ini, saya makan. Pilihan di tangan sendiri kan, jadi saya makan!

Sambal tauhu dan tempe pun sedap. Kadang-kadang saya beli RM3 untuk dikunyah sambil buat kerja kat desk. Dah kita suka makan, jadi makan laaa kan. Dilihat pada gerai kecil tu, memang tak sangka mereka menawarkan makanan yang berjaya membuatkan saya nak makan setiap hari. Cuti lima hari, rasa teringat-ingat sambal terung dan maggi gorengnya yang kurang garam itu. Oh ya, saya jarang menggunakan garam dalam masakan dan saya rasa maggi di kedai mereka pun kurang garam, jadi sama dengan deria rasa saya. Sebab itu saya masukkan menu mereka dalam list yang akan saya cari!

Kedai tu berlokasi di Jalan Bersatu 13/4, Seksyen 13, Petaling Jaya. Kami panggil deretan kedai di situ sebagai River Side Food Court sebab belakang deretan kedai tu ada longkang besar yang aliran airnya berbunyi seperti ombak sungai..tapi jangan risau..tak de bau!

Monday 28 August 2017

Zoo rescue day..

Dalam banyak-banyak tugas, tugas ini paling meninggalkan kesan kepada saya. Mungkin kerana berada dalam persekitaran yang dipenuhi haiwan, kesannya tidak sama. Dengan manusia, kita boleh berkomunikasi, tapi dengan haiwan..macam mana nak bercakap?

Minggu lepas dua adik saya (by friendship) Wan Rahmad dan isterinya Idah ajak saya pi buat kerja kat zoo. Macam orang lapar diberi sebungkus nasi lemak dengan sambal tumis kerang dan teh ais ikat tepi, saya terima ajakan mereka. Seawal jam 6 pagi, kedua-duanya sudah tiba di Sungai Long untuk ambil saya sebelum meneruskan pemanduan ke Zoo Negara.

Sampai di Zoo, kami diberi penerangan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika membuat kerja amal di zoo. Selain kami bertiga, ada lebih 50 sukarelawan lain yang sanggup mengorbankan cuti hujung minggu mereka demi sebuah tempat bernama zoo dan demi kebersihan persekitaran untuk haiwan yang ada di situ. Bagi saya, besar usaha mereka kerana sanggup mengorbankan tidur dan nyaman pagi hujung minggu semata-mata untuk berkhidmat terhadap haiwan di situ. Salute!

Nampak tak ada emu kat tepi sebelah kanan tu, dok main jauh-jauh ja depa, heran tengok kami selamba  dok bersih rumah depa..sat naa kakak nak sapu daun kering ni...
Saya ditugaskan membersihkan persekitaran kawasan 'bird aviary.' Tanpa berlengah, saya dan Farah mencapai penyapu lidi dan mula membersihkan luruhan daun buluh yang ada di sekitarnya. Sehelai kami sapu, tiga helai lagi yang baru gugur. Mencabar! Tapi kami berjaya menyapu bersih. Wan Rahmad dan Idah pula dihantar bertugas membersihkan rumah Zirafah. Menarik juga berkerjasama dengan zirafah kata Idah.

Bulu emu bercabang dua..halus dan lembut jer tapi bila dah kena tanah dan kotoran lain, jadi keras kejung..
Sehingga jam 10.30 pagi, kami diberi tugas baru iaitu membersihkan kandang burung emu. Emu? Boleh bayangkan bagaimana rupa burung besar yang tangkas berlari itu? Selama ini kita hanya lihat di kaca televisyen emu atau kasawari mengejar manusia dan kali ini saya berserta Farah, Idah, Wan Rahmad dan seorang zoo keeper akan sama-sama membersihkan kandang yang dihuni 15 ekor emu? 15? Ya 15 ekor kesemuanya dan saiz mereka sama tinggi dengan kami? Owhh takut?! 
Happy sungguh dapat main air pancut gini..kat tepi ada baby hypo menyelam...
Memang pada mulanya berasa gusar dan tak boleh nak bayangkan andai kata emu berkenaan mengamuk. Zoo keeper awal-awal sudah beritahu kami, jangan sekali-kali berlari dalam kandang emu kerana jika nampak je manusia berlari, emu akan mengejar sepantas kilat. Itu antara pesan zoo keeper kepada kami selain berhati-hati dan membuat kerja dengan senyap. Emu pun tahu jika kita ada niat untuk mencederakan mereka. Beruntungnya, kami masuk dengan bergaya, sapu daun-daun kering dan satu jam kemudian licin bersih kandang emu yang luas tu. Ada juga sekali  sekala si emu tu datang dekat dan tercengang melihat kami konsisten membersihkan kandang burung besar itu. Dalam hati usah cerita, emu sila pergi jauh dan jangan kacau. Kami cuma nak bersihkan tempat kamu saja. Selesai mengumpulkan kesemua sampah, kami pun keluar dengan bergaya juga dan emu pun gembira tengok kandang dah bersih!
Tengok muka depa ni geram je kan tapi kalau kena tendang, sorry naaa sakit woiii...

Pengalaman setengah hari ini sangat berharga. Walaupun sekejap, banyak ilmu saya kutip kerana sudah tahu bagaimana tugas zoo keeper dan penat lelah mereka menjaga haiwan. Zirafah mungkin nampak sweet dan gorgeous tapi kalau ia mengamuk, dua kaki belakang sangat berbahaya kerana mempunyai kekuatan menendang yang luar biasa, jadi berhati-hati. Kalau anda pengunjung, tak ada masalah sebab anda tidak 'berhubung' terus haiwan berkenaan.

Manakala emu pula kekuatannya pada kaki terutama pada jari. Kaki yang panjang membolehkan emu berlari dengan pantas dan ada tiga jari. Jari tengah paling bahaya kerana kuku emu seperti 'razor blade'. Apa-apa hal pun, kalau terpaksa berhadapan dengan emu, tekan kakinya dulu kerana ia boleh menjadikan emu cool sebab kaki dah kena kunci kan...

Jadi ini antara dua perkara baru yang saya ketahui setelah menjadi volunteer dalam tempoh beberapa jam. Rasa macam banyak lagi kena belajar. Saya akan register lagi untuk jadi volunteer kat sini. Anda boleh buka website zoo untuk lihat info sekiranya ingin jadi volunteer kat zoo...

Aidilfitri pula..

Baru settle meeting dengan Raymond and Angel untuk add Aidilfitri..semoga ada idea untuk buat pantun raya!