Showing posts with label rose. Show all posts
Showing posts with label rose. Show all posts

Wednesday, 13 February 2013

Chapeau de Napoleon...

HEBOH lagi. Ladang mawar milik Ah Kau mengalami kerugian berpuluh ribu akibat mawar yang ditanam diserang perosak. Ah Kau sugul seharian kerana mawar Comte de Chambord, Marchesa Boccela dan Madame Hardy sedang laris lantaran hari kekasih masih lagi diraikan. Selang dua hari sebelum itu, Ladang Muniandy juga dikhianiti orang apabila sesuku dari mawar Gruss an Aachen dan Sweet Intoxication yang ditanam dicantas individu tidak dikenali dan paling mengejutkan, ladang mawar Belle Isis, Rose Mundi dan Apothecary Rose milik Haji Mohsin mengalami peristiwa aneh apabila dua hari sebelum dituai, mawar miliknya layu dan mati dengan setiap kelopak seakan hangus warnanya.

Peristiwa ini baru saja berlaku minggu lalu di tanah tinggi aku, tanah tinggi tempat aku bermastautin. Walaupun aku memiliki kelulusan untuk bekerja makan gaji di bandar, tapi aku memilih untuk meneruskan rutin di tanah tinggi ini yang sangat aku sayang. Sebetulnya sebab utama aku tidak mahu meninggalkan ladang sayur di tanah tinggi ini adalah kerana Mawar, bukan sekuntum mawar, tapi seorang Mawar yang sudah lama bertakhta di hati aku. Senang cerita, Mawar adalah kekasihku.

Biar aku perincikan siapakah Mawar yang menjadi ratu di hati aku. Kenyataannya, dia cantik! Dengan mata bundar dan sebiji tahi lalat terletak di hujung hidungnya, dia makin cemerlang di mata aku. Justeru setiap hari dia menghantui hidup aku. Bahkan bibir mungilnya sangat petah berkata-kata. Aku sentiasa terkesima mendengar dia berkata-kata, bagai ada magis pada setiap tuturnya.

Setiap petang ketika minum teh bersama dia, aku lebih banyak memerhati dari bersuara. Buat apa lagi aku ingin bersuara, kerana di hadapanku ada sebuah lukisan hebat yang cukup sempurna untuk dinikmati. Dan lukisan itu adalah dia, sekuntum Mawar yang mekarnya berpanjangan, tidak pernah pudar warna bahkan wanginya mencetus seribu fenomena pada aku. Kalau melihatnya pun aku sudah terkesima, apa lagi kalau berbaring di sebelah. Ahhh tidak mahu aku sudahkan ayat ini, biar saja kamu fikir sendiri bahawa fenomena seorang Mawar seperti virus cinta yang menjadi penawar kepada raja segala racun. Hebatnya Mawarku ini. Dan aku hanya akan menjadi menjadi pemilik mutlak ke atasnya selepas berjabat tangan dengan kadi, itu adalah ikrar kami!

Di suatu ketika, aku pernah cuba menduga apa ada dalam fikirannya…

“Mawar, mahukah kau mengikut dan hidup bersama aku di kota?”

“Tidak. Aku lahir di sini, di tanah tinggi ini. Aku dicipta ketika subuh dingin pada suatu ketika, kira-kira 23 tahun lalu. Aku dilahirkan di sini, di hospital tanah tinggi dalam hawa sejuk dan oleh sebab itu, aku juga akan meneruskan hidup aku di tanah tinggi ini…”

“Ok, aku faham. Justeru kalau begitu, mahukah kau menghabiskan sisa hidupmu bersama aku di tanah tinggi ini?”

“Mahu. Tapi ada syaratnya…”

“Katakan syarat itu, aku mahu mendengarnya…”

Mawar lantas mendekatkan bibirnya ke telinga aku, berbisik sesuatu. Dan sepanjang dia berbisik di telingaku, aku berasa tidak tentu arah. Bagai ada virus yang menular di dalam pembuluh darah aku, merasuk menggila seolah-olah tidak terkawal dan aku berasa ingin terus mendengar dia berbisik dengan semahunya di telinga aku. Mukaku terasa panas, bahkan seluruh badan aku berasa seperti dikelilingi karan elektrik yang menggembirkan. Aku pegang kerusi tempat dudukku kemas-kemas supaya tangan nakalku tidak bergerak memeluh tubuhnya. Begitulah aura Mawar, mawar berduri yang sentiasa ingin aku sentuh meskipun aku tahu aku mungkin luka oleh durinya yang sangat tajam dan berbisa.

Oh ya, selepas mengetahui syarat yang Mawar bisikkan ke telinga aku tempoh hari, aku makin sayang padanya. Entah mengapa, aku berasa seperti aku dilahirkan untuk melindungi Mawarku yang satu ini. Dia adalah ratu di sanubari aku dan aku pula adalah segala-galanya bagi Mawar. Ya Mawar hatiku, walaupun cinta berkalang rahsia, aku sayang Mawar, sayang amat.

Dan malam ini aku akan buktikan sayang aku pada Mawar, betapa aku sangat mendambakannya dan akan aku beri sepenuh keseronokan dan kepercayaan kepadanya. Akan aku penuhi segala permintaannya walau tumpah darah aku. Setitik atau berucuran, aku sanggup demi Mawar kerana aku mahu Mawar berasa nikmat sehingga akhir hayat, tidak akan melupakan aku.

Bulan di puncak langit.  Apakala pekan tanah tinggi sudah lena diulit mimpi, aku menapak menuju ke suatu tempat untuk bertemu Mawar kesayanganku. Aku dan Mawar akan ‘bercumbu’ sepenuh hati, dengan sepenuh kudrat sehingga titik peluh yang terakhir. Biar darah menitik dari Mawar aku, aku rela mengubatinya. Biar menitik peluhku, biar kering liurku mengerjakan mawar yang sentiasa menggoda aku. Aku tahu, kami akan sama-sama berasa puas ‘menggauli’ antara satu sama lain. Kalau Mawar aku puas, aku akan lebih lagi berasa puas kerana berjaya membuatkan si Mawar yang tiada duanya ini senyum kepuasan. Apa yang aku mahu lihat ialah senyum Mawar yang cukup manis pada pagi hari esoknya! Dan pertemuan kami selesai sudah…Mawar senyum dan aku juga senyum. Kami tidak bercakap sepatah pun ketika bersama di situ…hanya bulan jadi saksi.

Lewat jam tiga pagi, kami beriringan berjalan pulang. Kami hanya berjalan kaki kerana ia lebih mudah menutup pandangan orang. Aku tahu Mawar keletihan, dan aku juga. Kami sama-sama letih. Ada beberapa titis darah pada pakaian Mawar, dan sedikit carik pada pakaianku tidak menjadi masalah untuk aku terus menyintai Mawarku ini. Harum bau mawar berlegar-legar di dalam kepalaku. Memang semerbak mawar segar sentiasa mengitari hidup aku kini.

Sejurus sebelum Mawar menghilang ke dalam rumah, dia menghadiahkan aku sekilas senyum penuh makna walaupun wajahnya yang merona merah memaparkan letih yang amat..

“Terima kasih sayang…kita jumpa esok ya. Minum teh mawar di ladang kita..”

“Pasti, kita mesti meraikan malam di puncak kegembiraan yang kita lalui bersama tadi. Hmm…aku lihat ada darah pada pakaianmu Mawar..?”

“Oh tak mengapa, luka sedikit saja. Sakit yang nikmat..”

“Betul? Atau mahu aku bawakan ubat esok?”

“Tak perlu, luka begitu akan baik dengan sendirinya. Melihat wajahmu esok, luka aku akan sembuh…”

“Sungguh?”

“Sungguh..

“Ok, jangan lupa bersihkan diri…sebelum tidur..”

“Baiklah…kau pun.”

“Mawar, dekat sikit, ada kumbang di rambutmu…”

“Tolong buang..”

“Dekat sini…nah, kumbang ini mengikut kita dari tempat tadi..”

“Owh ok, terima kasih. Jangan lupa ya, esok minum teh bersama..”

“Ok, selamat beradu sayang..”

“Kau juga..”

Dan aku puas kerana selain dapat menghalau kumbang dari rambutnya, aku sebenarnya ingin menghirup wangi rambutnya yang sentiasa semerbak dengan bau mawar…aku tidak pasti mawar spesies apa. Tapi yang aku tahu, Mawarku itu gemar kepada Chapeau de Napoleon, spesies mawar tanah tinggi yang sangat unik. Sehebat Napoleon, Mawar aku ini juga hebat orangnya…

Angin sejuk nyaman bersemilir mencium wajahku, begitu juga wajah Mawar. Rambut ikal mayang begitu cocok dengan raut wajahnya, sekali lagi aku tidak puas menatap lukisan hidup yang bernyawa ini. Serasaku mahu saja aku memeluk dan mencumbuinya erat-erat. Tapi tidak mungkin kerana dia belum sah aku nikahi…

“Minumlah, teh mawar untuk awet muda..

“Terima kasih..”

“Ini pula bingka mawar, kelopak mawar segar yang aku cipta jadi pewarna cantik untuk bingka ini..resipi tradisi arwah emak..bingka mawar..”

“Pasti enak…”

Kami sama-sama menghirup teh panas di tanah tinggi itu sebelum memulakan tugas di ladang masing-masing. Sambil aku dan Mawar kesayanganku bercanda menghirup teh dan menikmati bingka mawar, sudah merebak cerita ladang mawar milik Tuan Bakar ranap dipangkas orang. Kerugian belum ditaksir dan aku dan Mawar tahu, hari kekasih menjadi tidak bermakna kerana tiada mawar untuk dibekalkan manakala aku dan Mawar pula akan sentiasa berkasihan apabila kami menghirup teh setiap pagi.

“Persetankan hari kekasih mereka Mawar. Yang aku tahu, setiap hari aku mahu menghirup teh bersulam kasih sayang kau…”

“Ya…dan aku juga mahu menikmati teh ini bersama orang yang aku sayang dan kasih setiap hari. Aku tidak perlu hari istimewa untuk kau sayang, kerana setiap saat aku habiskan bersama kau adalah segala-galanya istimewa…”

Hahahahah…hahahhaa..hilai tawa kami mengapung ke udara, bagai cenderawasih di balik awan menghilang tinggi di langit mega…

Dan saat ini, bisikan syarat yang Mawar nyatakan pada aku sebelum ini terngiang-ngiang di kepalaku…23 tahun lalu, pada tanggal 14 Februari, seorang wanita ditemui tidak sedarkan diri di sebuah ladang mawar di tanah tinggi dan tujuh bulan selepas itu, wanita berkenaan melahirkan seorang bayi perempuan yang sangat comel dan diberi nama Mawar Abdullah. Dialah Mawar itu, yang lahir akibat kedurjanaan seorang syaitan yang dikuasi nafsu iblis. Mawar lahir tanpa asal usul namun ibunya membesarkannya dengan sifat srikandi meskipun kesumat meluap-luap untuk dilangsaikan. Dan pada setiap tahun, akan ada ladang mawar yang musnah….nantikan!

Itulah bisikan Napoleon seorang Mawar yang membuatkan aku makin suka padanya. Dan aku tertunggu-tunggu malam bulan di puncak seterusnya untuk bersama-sama Mawar mencumbui mawar-mawar lain bersama parang dan golok yang sudah kami asah tajam…untuk menodai sunti seladang mawar!

Penjagaan usus penting untuk tingkat imunisasi kanak-kanak

Usus adalah antara organ terpenting dalam badan manusia baik terhadap individu dewasa atau kanak-kanak kerana apabila memiliki usus yang sih...