Monday 9 December 2019

Mimpi...

Catatan asal: 2 Mei 2018
Saya bukan jenis manusia yang kerap bermimpi. Kalau bermimpi pun sebab terlalu letih dan mengarut. Saya anggap mimpi itu berlaku apabila kita terlalu menginginkan sesuatu itu berlaku dalam hidup dan apabila perkara berkenaan bermain dalam fikiran, maka ia akan terbawa-bawa ke dalam tidur atau mimpi. Dalam tempoh dua bulan ini, ada tiga mimpi yang mengasak minda saya. Bagaimanapun hanya dua sahaja yang saya dapat ingat dengan jelas. Biar saya perincikan apa yang sedang membuatkan adrenalin saya sentiasa rush dan apakah mimpi yang dialami itu.

Situasi 1:
Sepatutnya awal Mei lalu, saya berlepas ke UK untuk aktiviti back pack travel yang sudah banyak kali saya lakukan. Entah kenapa, setiap kali rakan di sana bertanya bila nak beli tiket, saya bagi jawapan nanti dulu. Seronok tu memang seronok kerana saya pernah bekerja dan menetap di UK selama hampir setahun. Jadi, andaikata saya jadi terbang ke sana, ia seperti satu reunion untuk kami berkumpul (dengan beberapa rakan yang sama kepala dengan saya, mengembara sambil bekerja jika berpeluang). Memang dalam fikiran, saya sudah merancang apa yang saya boleh buat  untuk dapatkan duit. Ok sepatutnya begitulah yang berlaku..berangan tak habis dengan aktiviti yang sepatutnya.

Mimpi yang saya alami:
Saya bawak keta warna putih dan memandu di sebatang jalan yang lurus. Apa jenis keta entah saya pun tak ingat, lagipun dalam mimpi..ingat-ingat lupa. Sedang elok bawa keta tu, tiba-tiba rasa nak patah balik dan saya lihat cermin depan dan cermin sisi, tak de kereta, jalan clear. So saya buat tindakan pantas berpusing 180 darjah disebabkan rasa nak patah balik semula kan. Confirm jalan clear..konon macam jalan selebar-lebarnya itu saya yang punya. Tiba-tiba belum habis corner, kereta saya dilanggar dengan kuat dari belakang dan hancur terbarai, terbakar dan kalau ikut logik dengan saya sekali dah padam.

Ehh tiba-tiba saya rasa saya memandu dengan cool di jalan yang tenang dan bila saya memberhentikan kereta sambil menoleh ke belakang, sebuah kereta warna putih sedang terbakar dengan dahsyatnya dan jasad saya ada di dalam kereta itu. Habis tu saya yang sedang bawa kereta ni, apa kes??? Ya Allah rupa-rupanya roh saya sahaja yang tinggal kini dan saya maut dalam kemalangan.  Ya roh saya yang masih bawa kereta dan tiada sebarang luka. Menangis air mata darah sekalipun, saya tak akan hidup balik sebab jasad saya dah cedera teruk dalam kereta yang sedang terbakar. Saya belum rasa nak mati. Saya belum  bersedia untuk mati sebenarnya.

Sekarang tak ada sesiapa boleh lihat dan nampak saya sebab saya sudah menjadi roh. Sedangkan masih banyak yang saya mahu lakukan. Saya mahu berjumpa si polan untuk beritahu dia saya suka dia sampai akhir hayat, saya sanggup tunggu dia selama-lamanya dan kini saya sudah jadi jenazah pun, bagaimana nak bercakap dengannya? Saya masih belum puas berbual dengan Kak Long. Kakak sulung saya yang sentiasa ambil berat pasal saya yang jarang sangat pulang ke rumah. Saya masih belum puas bermesra dengan anak saudara yang seramai sembilan orang, berusia 7 tahun hingga 19 tahun. Mereka pun masih sentiasa menunggu kepulangan saya ke rumah pusaka emak.

Dalam termangu-mangu memikirkan bagaimanakah untuk saya bercakap dan memeluk mereka, saya terserempak dengan sekumpulan manusia yang dapat melihat kewujudan saya dalam bentuk roh. Saya boleh minta pertolongan mereka untuk kembali menjadi manusia. Namun puas merayu dan menerangkan apa yang saya alami, jawapan mereka ialah 'Tidak Boleh' kerana nyawa saya sudah diambil oleh Pencipta. Saya sudah meninggal dan tidak ada peluang untuk hidup semula kerana kata mereka kematian itu tidak boleh ditangguh kerana kematian itu tepat pada masanya seperti yang dijanjikan oleh Allah. Puas saya menangis memohon supaya saya diberi peluang untuk hidup semula memandangkan hajat saya belum kesampaian untuk berjumpa dia dan orang-orang yang saya sayang.

Kata mereka lagi, tak boleh kerana saya sudah meninggal dunia, memang buatlah apa sekalipun mereka tidak akan dapat melihat saya lagi. Allahhuakbar...ketika itu saya berasa seperti saya sudah sahih akan berlegar-legar sebagai roh yang tidak tahu ke mana hendak dituju kerana sepatutnya saya perlu naik ke dunia akhirat tapi rasa sayang pada kehidupan duniawi masih kuat dan manusiadi dunia pula tidak dapat melihat saya, jadi apakah yang boleh saya lakukan? Tak lain dan tak bukan ialah menunggu giliran untuk dihisab.

Ya..mimpi itu tamat di situ dan apabila saya terjaga, perkara pertama yang saya lakukan ialah meraba tubuh badan sendiri. Ahhh masih utuh. Dan saya masih hidup. Ya Allah, terima kasih kerana masih mahu mengurniakan saya kehidupan yang saya mahu..

Beberapa hari selepas mimpi ini saya alami, saya cancel plan nak back pack travel ke UK. Due to technical problem, baiklah saya tak ambil risiko.


Mimpi kedua:
Saya memang dah lama nak cabut gigi yang dah mula goyang dan reput. Jadi kononnya saya guna jari sendiri untuk cabut gigi. Tiba-tiba gigi atas dengan mudahnya tercabut dan tidak berasa sakit pun..confirm saya cabut sendiri gigi tu..apakah?


Dua mimpi ini benar-benar mengusik minda saya..

No comments:

Post a Comment

Patin Tempoyak Kak Nik..

Saya tak pernah cuba patin tempoyak di Kedai Kak Nik walaupun dah banyak kali ada rakan beritahu masakan patin di kedai berkenaan sedap d...