Friday, 1 June 2012

Menghadapi sebuah kematian...

1 Jun 2011...

Bagaimanakah rasanya menghadapi sebuah kematian? Kematian yang sangat tidak ingin kita hadapinya walaupun kita tahu bahawa ia tidak akan tercepat atau terlambat walau sedetiknya kerana kematian seseoang hamba itu sudah tertulis di loh mahfuz, dalam naskhah catatan peribadi kita yang disediakan Pencipta. Sama ada mahu dihadapi atau tidak, wajib melaluinya kerana nyawa kita dipinjamkan Allah hanya untuk sementara saja.

Pada 2006, aku sudah terlepas menghadapi satu kematian (kematian abah) kerana sebab-sebab yang tidak sepatutnya berlaku, justeru selepas itu aku bersiap siaga untuk menghadapi satu kematian yang tidak dapat dielakkan...lima hari sebelum tarikh 1 Jun, aku dan adik bergegas membawa emak ke Unit Fisioterapi HUKM kerana ketika itu emak perlu membuat beberapa disiplin fisio setelah 20 hari terlantar di rumah akibat sakit tua dan mild stroke. Jadi aku dan adik mengawal blood pressure emak berdasarkan apa yang dinyatakan Doktor Farhan Zahiruddin dan nurse yang bertugas. Kami memberi emak makan menggunakan rice tube dan memastikan dia berada dalam keadaan selesa walaupun menggunakan lampin pakai buang.

Rutin aku bermula di sebelah malam selepas balik kerja dan adik pula mengambil tugas selepas tengah hari selepas dia pulang dari sekolah. Masa-masa selebihnya kami menggunakan perkhdimatan pembantu rumah sementara. Hari ketika kami membawa emak ke Unit Fisio, aku menggunakan sepenuh kudrat yang ada untuk memapah emak dari dalam kenderaan ke atas kerusi roda. Dengan bantuan adik dan pembantu rumah, kami bertiga mengusahakan supaya emak tidak rasa sakit atau apa sekalipun, namun aku terlepas pandang, ibu jari kaki emak tercalar sedikit ketika kami mengalihkan dia dari kenderaan ke kerusi roda. Aku ralat yang amat kerana kaki emak sedikit berdarah akibat calar terkena tar jalan. Ampunkan aku mak!

Tiba di Unit Fisio, emak masih membuka mata tapi aku perhatikan kelipannya agak jarang dan mata emak sentiasa terbuka menyebabkab matanya kering dan kemerah-merahan. Pegawai di Unit Fisio terus membuat refer letter untuk aku segerakan membawa emak ke Wad Kecemasan. Ketika itu jam 11 pagi dan selepas selesai segala urusan, emak dimasukkan ke wad kecemasan dengan tiga doktor melihat keadaan emak.
Doktor A: Siapa waris Makcik Maryam ni ya?
Aku: Saya doktor. Kenapa doktor?
Doktor A: Bapa atau waris lain ada?
Aku: Bapa saya dah meninggal dulu. Hanya saya dan adik di sini, emak tinggal dengan saya
Doktor A: Saudara mara lain?
Aku: Adik saya...makcik saya dalam perjalanan.
Doktor A: Awak tahu keadaan mak awak kan?
Aku: Tahu...saya tahu..sebab saya jaga dia...
Doktor A: Baik..Kalau apa-apa berlaku awak sudah bersedia?
Aku: Ya saya tahu dan saya bersedia...(dalam hati aku sudah bercelaru..aku taku masa emak sudah semakin hampir. Etika kedoktoran sebenarnya tidak boleh memberitahu secara jelas akan tempoh kematian kerana doktor bukan Tuhan tapi aku faham maksud Doktor A).

Ketika itu aku berada di sisi emak. Mata emak sudah pejam dan ada topeng oksigen pada mukanya. Emak juga sudah ditukarkan uniform hospital. Datang pula seorang doktor yang dari kumpulan bertiga yang mengambil kes emak. Aku namakan saja dia doktor B.
Doktor B: Jadi awak dah tahu condition mak awak macam mana kan?
Aku: Tahu doktor..
Doktor B: Awak dan adik saja kan..?
Aku: A ahh..
Doktor B: Mana dia?
Aku: Dia ke surau sekejap..
Doktor B: Alhamdulillah...saya minta izin untuk tidurkan emak awak ni ya..kami kena tingkatkan oksigen dan pengsankan emak awak untuk prosedur seterusnya yang akan kami lakukan.
Doktor B: Boleh ajar dia mengucap dulu..
Aku: Ok, terima kasih doktor..(Aku merapat pada katil emak dan Doktor B aku lihat mengenakan sarung tangan sambil memegang jarum suntikan..usai mengajar emak mengucap walaupun emak sudah koma sebenarnya, Doktor B rapat ke sisi katil sambil membaca Bismillah..
Doktor B: Assalamualaikum makcik, saya minta izin nak cucuk makcik sikit ya...(dan aku mendengar dia membisikkan sesuatu ke telinga emak, dia mengajar emak mengucap dua kalimah shahadah..)

Tiada setitik air mata yang keluar. Hati aku jadi kering, aku memaksanya menjadi kering kerana saat getir ini bukan masanya untuk aku bersedih atau menangis..
Sejak dari saat itu, emak berterusan tidur dalam lena yang panjang. Darah keluar masuk, begitu juga dengan urin dan aku dan adik meneruskan rutin kami dengan hospital menjadi rumah kepada kami. Makcik dan kakak sudah tiba dan kami bergilir-gilir duduk di luar ICU. Selepas lima hari di ICU, buah pinggan emak rosak. Doktor kata emak perlu melalui prosedur hemodialisis setiap hari dan emak menggunakan life support machine. Kata Doktor lagi, system badan emak totally shut down. Kalau boleh, ketika itu aku mahu supaya aku yang terlantar di katil putih menggantikan emak..namun apakan daya...aku, adik dan kakak sekali-sekala membantu nurse menukar lampin emak dan kami dibenarkan melihat nurse menukar dressing emak seperti jarum, suntikan, dan segala drip lain banyak memenuhi badan emak..aku tidak mengeluarkan sebarang air mata. Hati aku tetap kering..aku tidak boleh mengeluarkan air mata di depan adik dan kakak..kerana aku perlu menjadi seorang yang tabah di hadapan mereka...

Enam hari di ICU, emak sedar seketika dan kami mengambil saat yang ada itu untuk memohon kepada emak supaya menghalalkan air susu emak yang kami minum sejak kami dilahirkan, kami mohon kepada emak supaya mendoakan kesejahteraan hidup kami dan supaya kami sentiasa menjadi anak yang akan berbakti kepada emak selamanya walaupun emak akan pergi tidak lama lagi.

Petang hari keenam, emak tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke CCU...emak ditempatkan di bilik yang penuh dengan segala mesin dan wayar. Aku, adik dan makcik menghadap emak sambil kami bergilir membaca Yassin. Kakak sudah pulang ke kampung semalam kerana perlu menguruskan empat anak yang masih kecil. Aku sudah jadi mahir membaca tahap darah dan oksigen emak sambil memerhatikan apa-apa yang sewajarnya. Telinga emak sudah layu, hidung juga sudah sedikit jatuh. Belakang emak sudah rapat pada tilam dan jari-jari emak juga sudah lembut, seperti sudah tiada apa lagi yang tinggal. Muka emak seperti biasa, tidak pucat dan sentiasa ada peluh sejuk pada dahi emak serta air mata dari juring matanya tidak berhenti mengalir. Aku dan adik serta makcik tahu emak menghargai apa yang kami lakukan...terima kasih emak kerana menghargai kami..

Aku tahu emak akan pergi sekejap lagi, tapi aku tidak tahu akan detik tepat malaikat maut akan datang mencabut nyawanya. Kalau aku tahu, aku ingin merayu kepada Malaikat Maut supaya lambatkan sedikit tempoh nyawa emak dicabut. Kami belum puas berada di sisi emak, sungguh kami belum puas membaca Yassin untuk emak, kami belum puas menukar lampin emak, apatah lagi memicit dan mengurut kaki emak setiap malam.

Mesin bacaan darah emak makin menurun, dari 60/40 menjadi 55/38. Keadaan semakin kritikal dan aku berasa alangkah sakitnya perasaan untuk menghadapi sebuah kematian yang kita sudah tahu, tapi tidak pasti akan detik dan ketikanya. Mak Nah menyambung bacaan dan aku juga. Ketika itu baru selesai maghrib dan kami menunggu Isya. Mak Nah menyatakan dia perlu ke bilik air dan aku bersedia menghadapi emak seorang diri sekiranya emak dibawa pergi. Adik di surau menyelesaikan solat Maghrib. Kami bergilir-gilir ke surau dan bergilir-gilir juga menyambung bacaan.

Ketika Mak Nah bangun untuk keluar dari bilik emak, nurse menahan makcik daripada meninggalkan bilik emak. Katanya dia tidak mahu makcik aku dan emak berdua.
Nurse: Makcik, kalau makcik boleh tahan, saya mohon makcik terus berada di sini...sekejap saja lagi. (Nurse memantau setiap perkembangan yang berlaku dari luar bilik kerana di meja mereka juga ada monitor yang menunjukkan bacaan perkembangan emak)
Mak Nah: Ya ke?
Nurse: Ya, saya mohon pada makcik, untuk makcik berada sekejap saja lagi di sisi Makcik Maryam dan anaknya.
Mak Nah: Baiklah, saya boleh tahan.

Mak Nah masuk semula ke dalam bilik dan duduk di sisi emak. Aku memegang tangan emak yang sudah sejuk dan lembut sambil beberapa titik air mata menitis turun dari tepi mata emak. graf bacaan semakin menurun, tapi dada emak tetap berombak kerana ada pam oksigen yang menghembus ke dalam dada emak. Secara harafiahnya, emak masih hidup kerana kelihatan bernafas tapi Sains juga adalah sesuatu yang bersifat empirikal walaupun pada hakikatnya aku tahu emak sudah tiada, emak sudah melangkah pergi meninggalkan kami. Aku terbayang-bayang akan malaikat maut menjalankan tugasnya dengan kemas walaupun bengis kerana tiada sebarang penarikan atau sentap daripada jasad emak.

Pengambilan nyawa itu berlaku dengan cukup pantas, halus dan senyap kerana selepas selesai azan Isya, bacaan graf darah emak menjadi 40/35, namun pam oksigen masih bergerak kerana ia adalah mesin, mesin yang dicipta manusia manakala badan emak pula adalah jasad daripada tanah yang diciptakan Allah. Apabila kedua-dua bergandingan, ia memberi keselesaan atau harapan kepada manusia seperti kami, namun kenyataan tetap perlu ditelan, emak sudah berpulang tepat jam 8.25 malam, selepas Isya, malam Khamis tahun lalu. Dan aku tahu aku adalah yang dipilih emak untuk melihat bagaimana dia 'meminta diri' untuk berpulang ke negeri abadi, sedang adik tiada di sisinya. Aku tahu itu adalah cara emak untuk menyatakan rasa kasih sayangnya kepada aku, dengan memilih membenarkan malaikat maut mengambil nyawanya ketika aku di sisinya. Adik ketika ini berada di surau manakala kakak dalam perjalanan ke KL dari Kelantan.

Selepas lima minit, seorang doktor perempuan muncul bersama steteskop dan membuat prosedur biasa ke atas jasad emak.
Doktor: Cik, tabahlah ya. Makcik sudah tiada sejak lima minit tadi, kami memantau dari luar. Bacaannya sudah di bawah paras normal sejak setengah jam tadi. Kami memerhati dan ingin mengesahkan emak Cik habis usia disebabkan oleh masalah Intracranial Massive Bleeding, berlaku pendarahan melampau pada aspirin yang diambil. Kami tidak pasti akan kenapa berlaku pendarahan disebabkan aspirin kerana sebelum ini, aspirin yang diambil memberi tindak balas positive.
Aku: Ok, terima kasih doktor. Terima kasih dari kami kerana menjaga emak saya dengan penuh dedikasi.
Doktor: Cik boleh lihat x-tray otak yang kami buat sebelum ini...
Akul: Ok, saya nak tengok.
hampir 90 % daripada otak emak dipenuhi darah dan bekalan oksigen sudah tidak mampu melalui bahagian berkenaan dan berdasarkan laporan akhir doktor, emak meningal disebabkan pendarahan kronik pada otak dan aku tahu berdasarkan apa yang 'dicatat' bahawa hayat emak akan berakir di situ walau apa alasan sekalipun diberikan doktor. Dan aku pasrah. Masih tiada setitik air mata pun keluar...

Maka berakhir sudah hayat seorang hamba Allah, pada usia 66 tahun, dalam keadaan serba tenang dan senyap, setelah dia puas membesarkan lima anak dan melihat tujuh cucu. Bukunya ditutup sudah dan disimpan kemas dalam peti ingatan kami..hanya kami yang tinggal ini saja masih belum ketahuan akan langkah dan hala tuju. Apa yang kami mampu lakukan pada emak ialah setiap hari 'menghantar' hadiah kepadanya, termasuklah kepada abah dan nenek.

Emak, kalau emak ada di sisi aku hari ini, pasti emak gembira kerana aku berjaya meneruskan hidup walaupun 'sokong' yang aku ada selama ini sudah membawa rebah kepada aku. Berkat doa emak juga, aku menjadi seperti hari ini. Terima kasih emak...

Jasad emak dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Universiti, Bangi, pada jam selepas Zuhur, hari Khamis, 1 Jun, setahun yang lalu...Al-Fatihah mak, tunggu saya ya! Terima kasih juga kepada Mak Nah yang menguruskan segala keperluan emak ketika menumpang lena sekejap di kediamannya..

32 comments:

  1. Al-Fatihah untuk ibu akak.

    Kak, ajal memang tak menunggu sesiapa.

    ReplyDelete
  2. Setiap yg hidup pasti Akan mati..itu janji Allah. Al-Fatihah buat arwah..

    ReplyDelete
  3. lebih kurang macam kisah mama iem ..
    ajal mmg tak menunggu sesiapa tidak akan cepat tidak akan lambat walau seminit ..

    al fatihah..

    ReplyDelete
  4. dan pergi dia pada yang lebih baik; bertemu Dia, dan itu sebaik-baik yang mampu kita doakan pun untuk yang kita sayang kan?

    dan setahun dah kamu buktikan; bergantung pun kamu pada seorang yang kamu sayang, rupanya sayang kamu pada Maha Esa lebih kuat dan ia menguatkan lemah rendah hati manusia untuk bangkit.

    ah.
    tak salah menangis untuk menyedarkan betapa kita hanya seorang manusia; tapi harus kemudian bangun dan bertekad untuk meneman dia yang kita sayang pada laman Dia yang tentunya eternity; ever.

    dan dia yang kita sayang itu masih hidup dalam jiwa dan semangat kita kan?
    dan itu lebih dekat dari yang pernah kita jangkakan; dan pastinya ia berbaloi.

    Al-Fatihah untuk Allahyarhamah.
    Semoga, esok-esok, bila giliran kita sampai, kita mampu jumpa dia dengan wajah senyum semanis jujur yang termampu kan?

    insya'Allah.

    Ameen

    *senyum*

    ReplyDelete
  5. al-fatihah.. sy tahu perasaan itu sebab sy pernah bersama dgn seseorang yang mahu pergi buat selama-lamanya.. hmmmm..

    ReplyDelete
  6. kebetulan, hari jumaat...

    ReplyDelete
  7. membaca kisah ini bagai membuka luka lama dalam hatiku dan... aku teresak membaca.. aku cuba baca semuanya tapi mataku sudah basah dan pandanganku kabur..

    * aku pernah rasa hampir sama saat2 seperyi ini. aku telah bersedia kononnya. aku cukup bersedia menanti saat kehilangan.. tapi alangkah pedihnya bial ia benar2 terjadi!

    Maaf.. kiranya hari ni aku terlalu emosi hingga teresak2 hingga Shinta terpaksa memujuk ku..

    ReplyDelete
  8. my dear Lady,baca satu ayat ke satu,takziah saya ucapkan...tapi bertuah kerana dapat bersama disisi nya semasa dia menghembuskan nafas terakhir...
    i may put it so blunt...tapi terima kasih kerana berkongsi...

    ReplyDelete
  9. Naja naja,
    Terima kasin.


    SM,
    Terima kasih.


    Pok Amai Amai,
    Fara, terima kasih. Ya, ajak memang tidak akan terlambat atau tercepat sesaat pun...justeru, kita perlu bersedia.

    ReplyDelete
  10. Nieza,
    Terima kasih, janji Allah memang pasti..



    Eim,
    Al-Fatihah untuk mama eim dan saudara mara kita yang sudah berpulang..


    HaniAsyira,
    Hanya yang melaluinya akan tahu perasaan itu, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul..

    ReplyDelete
  11. SM,
    Memang sangat kebetulan. Tahun lepas 1 Jun jatuh pada Khamis dan kiranya arwah mak aku dimasukkan ke liang lahad khamis malam jumaat...


    Nong Andy,
    Aku tak menangis ketika arwah ada di atas muka bumi, tapi sejurus dia dikebumikan dan hilang dari pandangan mata aku, aku menangis secara senyap, tanpa bunyi...sampai kini...

    ReplyDelete
  12. AJ Nismihan,
    AJ aku cuba untuk tidak menahan,tapi ia menjadi kental dengan sendirinya..dan aku tahu dia menujuk berjalan balik kepada PenciptaNya dengan sangat sederhana, tidak berlebih dan tidak terkurang..dan sehingga kini aku tetap masih merasakan dia ada bersama aku, menunggu aku pulang dari kerja, menunggu aku masak untuk dia dan bawa dia ke bilik air..segala-galanya masih jelas, namun aku perlu melepaskan kenangan itu secara perlahan-lahan bersama arus masa...

    ReplyDelete
  13. Mr Clive,
    Thanks..semua kita tanpa mengira agama akan melalui pengalaman ini, kehilangan orang-orang yang kita sayangi...dan kenangan adalah menjadi tersangat mahal apakala kita mula melupakannya secara perlahan-lahan tanpa disedari..

    ReplyDelete
  14. Meleleh air mata baca article ni, memang kerdilnya kita disisi Allah..dan putaran masa takan berpatah, tetapi perjalanan yang mara pasti untuk mengadapNya. Tentunya tak kenal walau pun tua atau muda. Bertuahnya dapat berbakti menjaga emak hingga ke nafas terakhir dan semoga emak Shasha tergolong dalam mukmin yang dipelihara dan dikasih Nya...Amin..Al Fatihah

    ReplyDelete
  15. tak sanggup nak baca..i baca last part tu pun dah sebak...
    alfatihah to ur mum...any also to all muslim yang dah pegi termasuk my abah...

    ReplyDelete
  16. Al-Fatihah buat arwah ibu dik LW.

    Arwah bapak akak dah hampir 18 tahun pergi tapi akak masih belum mampu menulis tentang hari pemergiannya. Dik LW sungguh kuat & tabah. Semoga dilindungi Allah SWT selalu.

    ReplyDelete
  17. and how r u today,dear Lady? :)
    hope u r well and in good health...
    x g mana mana ke cuti ni?

    ReplyDelete
  18. al-fatihah...

    teringat arwah my dad jugak tapi dia meniggal dalam tidur di rumah.. after normal routine everyday.. pergi keje, balik rumah solat zuhur & asar, mengaji sikit, makan ubat & tidur.... tidur petang tu tidur selamanya...

    stay strong... moga mereka berada di kalangan mereka yg beriman...

    ReplyDelete
  19. Nenet Penne,
    Tiga perkara yang menghubungkan kita dengan mereka ialah sedekah, amal jariah dan doa kita untuk mereka. Kota doakan semoga mereka sentiasa dicucuri rahmat Allah..

    ReplyDelete
  20. Samsiah Jendol
    Lepas dia dikebumikan dan balik ke rumah yang senyap dan sunyi, barulah saya berasa satu kehilangan yang amat sangat. Terasa seluruhnya kosong, semua hilang berterbangan dan lama juga diperlukan untuk saya menerima kenyataan, dia dah tak ada. Yang ada hanya kenangan dan ingatan..baju terakhir yang dia pakai saya masih simpan..

    ReplyDelete
  21. Kak Dinas,
    Saya pun berasa kehilangannya masih baru amat..seperti semalam saja dan setiap kali melepasi bilik tidur dia, rasa seperti dia ada je tidur lena di situ...

    ReplyDelete
  22. Hi Mr Clive,
    I'be going to Kidzania...have something to review today with kids. Hows your day? Hope you doing well yeah..

    ReplyDelete
  23. m.u.l.a.n
    Alhamdulillah, meninggal dalam tidur..seolah-olah arwah sudah bersedia kerana tidur adalah mati kecil dan pastinya arwah tidak mengalami sebarang kesusahan..insyaAllah semoga arwah ayah Mulan, mak saya dan sesiapa saja saudara seagama yang sudah meninggal, kita doakan mereka mendapat rahmat dan keampunan Allah, serta ditempatkan dalam lingkungan mereka yang terlepas siksa kubur..

    ReplyDelete
  24. al-Fatihah utk semua yg telah pergi terlebih dulu dari kita.

    masa arwah emak dan ayah meninggal pun akak tak menangis, redha sangat tapi....bila balik semula ke rumah di KL...hanya Allah yg tahu betapa diri ini amat terasa kehilangannya...

    ReplyDelete
  25. sedih betul aku baca... terasa nak menangis pula.

    al fatihah

    ReplyDelete
  26. Kak Queenie,
    Kan..masa mandikan arwah, lihat arwah diturunkan ke liang lahad, saya cool...tapi bila balik rumah dan lihat sofa yang arwah suka duduk tu...huwaaaaa!

    ReplyDelete
  27. Telor Power,
    Nangeslah bro tak salahnya...kalau entry ini mendatangkan keinsafan dan perkara baik pada ko..alhamdulillah.

    ReplyDelete
  28. lw..saya baca sampai abis.alfatihah utk arwah mak.saya baca smbil terpikir ttg sesuatu..nanti saya emel
    ye

    ReplyDelete
  29. al fatihah.. setiap yang bernyawa pasti akan mati gak kan akak.. yang hidup ni pulak kne teruskan r hidup.. takleh nak meratap sangat kan..

    ReplyDelete
  30. Akak, mlm td mimpi lagi dapat peluk arwah abah.....ohhhhh

    ReplyDelete

Aidiladha beberapa tahun ini..

 Tiba-tiba teringat pasal sate pulak tengah hari ni.. Aidiladha aku tak pernah sama setiap tahun. Pada tahun 2014, aku  beraya di Brockley. ...